SUKA ataupun tidak, realitinya Malaysia hanya memiliki seorang pelumba basikal trek bertaraf dunia ketika ini iaitu Datuk Azizulhasni Awang.
Kenyataan ini mungkin kedengaran pahit ketika negara mengharapkan kesinambungan kejayaan, namun itulah hakikat yang perlu diterima.
Dalam usaha mengekalkan momentum di pentas antarabangsa, situasi ini secara tidak langsung menimbulkan kebimbangan terhadap masa depan sukan berbasikal trek negara sekiranya tiada pengganti setanding seperti ‘The Pocket Rocketman’.
Pengarah Teknikal Program Berbasikal Kebangsaan, John Beasley, sendiri mengakui bahawa Azizulhasni merupakan atlet yang hanya muncul sekali dalam satu generasi.
Kenyataan tersebut bukan sekadar pujian, sebaliknya mencerminkan jurang kualiti ‘kelas A’ yang masih belum mampu dicapai secara konsisten oleh kebanyakan pelumba negara ketika ini.
Pada usia 38 tahun, Azizulhasni membuktikan bahawa ‘bisa’ kayuhannya belum pudar apabila berjaya menumbangkan pencabar utama dunia dan sukar dikejar mana-mana pelumba negara ketika ini.
Kemenangan ke atas jaguh Britain, Matthew Richardson di Perth serta juara Olimpik dari Belanda, Harrie Lavreysen di Nilai, mengukuhkan statusnya sebagai pelumba terbaik negara ketika ini.
Meskipun pernah merancang untuk bersara selepas Olimpik Paris 2024, Azizulhasni kini tekad meneruskan karier profesionalnya dengan sasaran menutup tirai selepas Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Cabaran sebenar kini bukan lagi terletak di bahu Azizulhasni untuk terus menang, tetapi di bahu barisan pelumba muda untuk berhenti sekadar menjadi pemerhati dan mula menyahut cabaran sebagai nakhoda baharu.
“Hanya ada satu Azizulhasni dalam satu generasi. Yang lain perlu menyahut cabaran dan keluar dari bayang-bayang Azizulhasni. Sekarang masa untuk mereka tampil dan ambil tanggungjawab.
“Pelumba lain kena buat ‘kerja rumah’ di luar trek perlumbaan, kaji cara perlumbaan dan pergerakan pihak lawan. Pintu saya sentiasa terbuka untuk sesi taktikal, tapi tak ramai yang datang bertanya,” kata Beasley.
Realitinya, barisan pengganti sedia ada masih bergelut dengan masalah kecederaan.
Shah Firdaus Shahrom, kini baru pulih daripada kecederaan lutut dan memerlukan masa untuk mendapatkan semula rentak, manakala pemenang pingat emas Sukan SEA Thailand, Muhammad
Ridwan Sahrom pula dihimpit kecederaan bahu kiri selepas insiden di Hong Kong.
Meskipun Beasley melihat perkembangan pelumba muda berada di landasan tepat, beliau tidak menafikan bahawa mereka masih jauh untuk mencapai tahap elit dunia.
Di sebalik kegusaran itu, Beasley mendedahkan kewujudan seorang pelumba remaja berusia 16 tahun yang dianggap sebagai ‘permata’ baharu yang sedang digilap.
Dengan fizikal dan kualiti yang ada, pelumba remaja ini diramal mampu menjadi juara baharu dalam tempoh empat tahun, namun ia memerlukan masa sebelum benar-benar matang.
Azizulhasni sendiri meletakkan standard yang tinggi buat pelumba Malaysia dan mahu atlet negara tidak hanya melakukan yang ‘terbaik’, sebaliknya melangkaui had kemampuan sebelumnya.
















