JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang meletakkan beberapa syarat penting sekiranya mahu meneruskan perjuangan memburu penampilan terakhir pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Selepas mencipta prestasi luar biasa di Piala Dunia Trek di Nilai, Azizulhasni mengakui faktor pemulihan badan, sokongan keluarga dan pasukan sains sukan profesional menjadi keutamaan sebelum membuat keputusan meneruskan karier.
Pelumba berusia 38 tahun yang terkenal dengan gelaran ‘The Pocket Rocketman’ itu berkata, keputusan untuk terus berlumba di pentas tertinggi dunia bukan hanya bergantung kepada dirinya semata-mata kerana ia menuntut pengorbanan besar daripada seluruh keluarga.
“Kalau nak teruskan kerjaya, memang banyak pengorbanan yang perlu dibuat. Bahagian itu kena tanya isteri saya sebab dia yang banyak berkorban di belakang tabir.
“Saya juga sangat rapat dengan anak-anak, jadi semua itu perlu diambil kira sebelum buat keputusan,” katanya selepas tamat kejohanan di Nilai, kelmarin.
Selain faktor keluarga, Azizulhasni turut menegaskan dia mahu bergerak secara lebih profesional dan tidak terlalu bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan sekiranya mahu kekal kompetitif hingga LA28.
Katanya, antara syarat paling penting ialah memiliki sistem sokongan lengkap termasuk pasukan sains sukan yang kukuh, selain sumber kewangan stabil menerusi kerjasama penaja.
“Kalau boleh saya tak mahu terlalu mengharapkan KBS atau MSN semata-mata. Saya mahu bergerak secara profesional dan kena berbincang dengan penaja juga.
“Pada usia sekarang, pemulihan memang sangat penting. Sebab itu kalau nak ke LA28, saya perlukan pasukan sains sukan yang benar-benar solid,” jelasnya.
Azizulhasni berkata, aspek pemulihan kini menjadi cabaran terbesar buat dirinya memandangkan tubuh badan memerlukan tempoh lebih panjang untuk kembali berada pada tahap optimum selepas latihan dan perlumbaan intensif.














