PRESIDEN Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh percaya khidmat Datuk Azizulhasni Awang masih diperlukan sehingga Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Meskipun sudah mencecah usia 38 tahun, Amarjit menyifatkan pelumba yang digelar ‘The Pocket Rocketman’ itu masih belum menunjukkan tanda-tanda akan menoktahkan kariernya.
Sebaliknya, dia terus membuktikan statusnya sebagai pelumba kelas dunia dalam skuad negara menerusi kejayaan meraih pingat emas keirin dan gangsa dalam acara pecut di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai yang berakhir kelmarin.
Menurut Amarjit, naluri hatinya kuat mengatakan bahawa Azizulhasni sebenarnya masih berhasrat untuk beraksi di pentas Olimpik buat kali terakhir di Los Angeles, walaupun pelumba itu sering memberikan jawapan mahu berbincang dengan keluarga terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.
“Apa yang saya saksikan membuktikan beliau masih belum ‘habis’. Jika beliau masih mempunyai kekuatan kaki dan semangat juang yang tinggi, kita tidak sepatutnya menafikan peluang itu dan PKBM akan memberikan segala sokongan yang diperlukan bagi memastikan beliau dapat terus berbakti,” katanya ketika ditemui selepas tamat kejohanan.
Amarjit turut mengakui bahawa Malaysia kini berdepan kekangan jumlah atlet bertaraf Olimpik apabila Azizulhasni dan Shah Firdaus Sahrom masih kekal sebagai tonggak utama yang memikul harapan besar negara di peringkat antarabangsa.
Mengulas mengenai status Azizulhasni sebagai pelumba profesional, Amarjit menegaskan bahawa kerajaan perlu tampil memberikan sokongan yang berbeza dan lebih komprehensif dari segi kewangan mahupun peralatan kepada permata negara itu.
Dalam pada itu, kejayaan penganjuran Piala Dunia Trek di Velodrom Nasional ini turut mencetuskan impian lebih besar buat PKBM untuk membawa Kejohanan Trek Dunia ke tanah air dalam masa terdekat.














