JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang berharap kejayaan menjuarai acara keirin pada Piala Dunia Trek UCI di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan kelmarin membakar semangat seluruh atlet negara.
Pelumba berusia 38 tahun itu sekali lagi membuktikan usia bukan penghalang apabila pecutan emasnya itumengejutkan juara dunia dari Belanda, Harrie Lavreysen untuk meraih emas kedua musim ini selepas turut menjuarai pusingan di Perth, Australia, bulan lalu.
Kejayaan Azizulhasni itu bukan sahaja membanggakan negara, malah menyaksikannya dinobatkan sebagai juara keseluruhan musim ini dengan mengumpul 1,600 mata selepas turut menjuarai pusingan pertama di Perth, Australia bulan lalu.
“Selepas saya menang dengan (Matthew) Richardson di Perth, komuniti berbasikal mula memberi penghormatan. Sejak hari pertama di sini, semua orang termasuk atlet, jurulatih dan staf datang menyatakan rasa kagum atas apa yang saya lakukan pada usia 38 tahun.
“Ramai rakan sezaman saya dari negara lain sudah bergelar jurulatih dan mereka menganggap saya memberikan contoh baik kepada generasi muda. Saya mahu buktikan kepada atlet-atlet negara bahawa usia hanyalah angka. Apa yang penting ialah mentaliti dan hati kita. Kalau kita benar-benar mahu, apa sahaja boleh dilakukan.
“Mereka tahu saya belum berada pada tahap terbaik ketika ini, tetapi saya mempunyai keyakinan tinggi dan semangat yang berbeza. Mentaliti saya ialah mentaliti kemenangan dan saya buktikan bahawa saya masih boleh menang,” katanya.
Dalam aksi final semalam, Azizulhasni mempamerkan kematangan taktikal apabila bersabar di kedudukan belakang sebelum melakukan pecutan berani di celah-celah ruang sempit pada selekoh terakhir untuk memintas Lavreysen yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua.
Pencapaian di laman sendiri itu sekali lagi mengukuhkan status Azizulhasni sebagai antara pelumba keirin terbaik dunia, sekali gus memberi isyarat jelas mengenai kesediaannya untuk terus membawa cabaran negara di peringkat tertinggi.
Ketika ditanya mengenai perancangan bersaing di Kejohanan Dunia Berbasikal Trek UCI 2026 dijadual berlangsung di Shanghai dari 14 hingga 18 Oktober 2026 nanti, Azizulhasni menegaskan fokus utamanya ketika ini lebih terarah kepada Sukan Komanwel dan Sukan Asia terlebih dahulu.














