fbpx
Dinie (kiri) melayan beberapa pelanggan yang sedang memilih cincin di kedainya di Pasar Besar Siti Khadijah, Kota Bharu semalam.

Serbu kedai emas murah sebelum balik KL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA TERENGGANU – Tauke kedai emas tersenyum lebar apabila premis mereka tidak putus-putus diserbu perantau dan pelancong yang berpusu-pusu membeli barang kemas ekoran kejatuhan harga logam berharga itu sejak kebelakangan ini.

Musim cuti panjang dijadikan peluang buat golongan itu membeli rantai, gelang dan cincin di kedai sekitar bandar raya ini dan Pasar Payang di Kuala Nerus untuk dipakai sendiri atau dijadikan hadiah buat insan tersayang.

Harga emas terkini dicatatkan pada RM547 berbanding RM700 segram beberapa bulan lalu.

Perantau dari Shah Alam, Selangor, Norazida Mat Ali, 45, berkata, dia memang menyimpan niat untuk membeli emas yang sudah turun harga sejak beberapa bulan lalu ketika pulang ke kampung sempena cuti panjang.

“Hari ini (semalam) saya beli dua rantai untuk anak perem­puan. Ia tidak terlalu murah tetapi lebih rendah berbanding hampir RM799 segram sebelum ini,” katanya ketika ditemui di Pasar Besar Kedai Payang di sini.

Pelancong dari Tanjung Malim, Perak, Izzah Nurin Shamsul, 35, berkata, dia merancang membeli emas di Terengganu selepas tertarik dengan pelbagai promosi dan rekaan barang kemas di media sosial.

Katanya, dia rambang mata melihat pelbagai pilihan dan suaminya ada membeli seutas gelang untuk dihadiahkan kepadanya sempana ulang tahun perkahwinan mereka.

Pembantu kedai emas, Kamarul Mat Ali, 47, mengakui berlaku peningkatan pelanggan dalam kalangan perantau dan pelancong sejak hujung minggu lalu.

“Ramai beli emas untuk guna sendiri atau hadiah ketika harganya turun berbanding dua bulan lalu,” katanya.

Sebahagian barangan kemas yang dijual pada harga murah di pekan Kuala Pilah dan Bahau.

Di Kota Bharu, tauke kedai emas di Pasar Besar Siti Khadijah di sini diserbu perantau dan pelancong yang pulang ke kampung.

Pekerja Kedai Emas Dhiya Gold, Dinie Ismail, 27, berkata, harga emas menurun sebelum Hari Raya Aidiladha.

“Kedai emas kami dikunjungi hampir 100 pelanggan sehari sejak 26 Mei lalu. Ada yang datang untuk membeli dan menjual emas. Kedai kami tidak membeli emas lama kecuali hendak tukar dengan yang baharu,” katanya.

Menurut Dinie, barang kemas bercorak lipan dan lina banyak dibeli pelanggan termasuk dari Thailand.

Peniaga emas, Nur Husna Syamimi Nor Aswan, 30, berkata, kedainya masih diserbu pelanggan selepas mengetahui harga­nya turun.

“Perantau beli dan menukar barang kemas. Difahamkan harga emas akan naik tetapi orang Kelantan tidak kira itu semua asalkan dapat pakai corak baharu,” katanya.

Bagaimanapun, di Jempol, kebanyakan kedai di Kuala Pilah dan Bahau menjual emas pada harga RM538 segram, masih tidak diserbu ekoran orang ramai masih berhati-hati berbelanja dalam keadaan ekonomi semasa.

Peniaga emas yang enggan dikenali berkata, meskipun harga emas 916 kini berada sekitar RM540 segram, jumlah pelanggan sederhana dan belum me­nunjukkan peningkatan ketara.

“Ia berbeza ketika pandemik apabila orang beli sebagai pelaburan. Faktor ekonomi dan berjimat menyebabkan orang berhati-hati,” katanya.

Bagaimanapun menurutnya, sebagai peniaga, mereka sangat berharap agar penurunan harga emas dapat merangsang semula pasaran dalam tempoh terdekat.

“Sebelum ini, kenaikan harga emas tersebut menyebabkan sebahagian pengguna mengambil pendekatan menangguhkan pembelian atau membeli dalam kuantiti yang lebih kecil,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN