ALOR SETAR – Tindakan seorang lelaki mengalihkan sebatang tongkat membawa kepada penemuan mayat seorang warga emas di Simpang Kuala di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, lelaki berusia 61 tahun tersebut menemui mayat mangsa, Chew Kim Leng, 74, di dalam longkang berhampiran Jalan PSK 1.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, saksi pada mulanya ternampak sebatang tongkat di atas jalan raya dan mahu mengalihkannya ke kawasan rumput berhampiran.
“Bagaimanapun, ketika berbuat demikian dia ternampak mangsa di dalam longkang sebelum menahan kereta peronda polis yang kebetulan melakukan rondaan di kawasan itu.
“Sepasukan anggota polis kemudian pergi ke lokasi kejadian dan mendapati si mati ialah Chew Kim Leng yang tinggal di sebuah rumah pangsa berhampiran,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati lelaki warga emas itu dipercayai tergelincir ketika melalui kawasan longkang berkenaan.
“Pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah yang turut berada di lokasi kejadian telah menjalankan pemeriksaan fizikal terhadap mangsa dan mendapati tiada sebarang unsur jenayah.
“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” ujarnya.
Tambahnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat. – KOSMO! ONLINE














