JASIN – Gara-gara tersalah alamat rumah pelanggan, seorang bidan yang menjalankan perkhidmatan urutan bersama suaminya mencetuskan kekecohan dan pertengkaran mulut dengan beberapa penduduk di Bandar Scientex Jasin di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata,laporan kejadian diterima pukul 8.30 malam dan pemeriksaan dilokasi mendapati pertengkaran mulut berlaku antara penduduk dengan pasangan suami isteri terbabit.
Lee berkata, siasatan mendapati hanyalah salah faham yang bermula sejak 8 Jun lalu apabila penduduk mendakwa kereta Perodua Kancil dinaiki pasangan berkenaan dilihat dalam keadaan mencurigakan.
“Pasangan tersebut datang ke Bandar Scientex Jasin kerana wanita berkenaan bekerja sebagai bidan dan mengambil upah mengurut wanita selepas bersalin dari rumah ke rumah.
“Bagaimanapun pasangan ini telah tersilap nombor rumah dan lorong ketika mencari alamat pelanggan dan menimbulkan rasa curiga dalam kalangan penduduk setempat,” ujarnya.
Menurut beliau, pada malam tadi kereta pasangan terbabit sekali lagi dilihat berada di hadapan sebuah rumah di kawasan perumahan itu lalu membuatkan tiga penduduk bertindak menghampiri kenderaan berkenaan.
Jelasnya, ketika kejadian hanya si suami berada di dalam kereta, manakala isterinya sedang mengurut pelanggan yang baru bersalin di sebuah rumah berhampiran.
“Suami kepada bidan tersebut telah diminta keluar dari kereta sebelum berlaku pertengkaran mulut yang menyebabkan orang ramai mula berkumpul di lokasi kejadian.
“Hasil perbincangan yang diadakan di Balai Polis Merlimau, semua pihak akhirnya memahami keadaan sebenar, mengakui berlaku salah faham dan saling bermaafan,” katanya.
Katanya, tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku dan polis mengesahkan kes itu tidak melibatkan sebarang cubaan melakukan jenayah. – KOSMO! ONLINE














