NILAI – Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang meneruskan kayuhan cemerlang apabila berjaya menempah slot ke pentas final acara keirin pada Piala Dunia Trek UCI 2026 di Velodrom Nasional, hari ini.
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo, Azizulhasni mempamerkan kayuhan bertenaga pada saingan separuh akhir pertama untuk berada dalam kelompok pelumba terbaik sekali gus menghidupkan harapan memburu kemenangan di laman sendiri.
Pada aksi separuh akhir itu, pelumba kelahiran Terengganu tersebut yang bermula di kedudukan kelima bijak mengatur strategi apabila menunggu dua pusingan terakhir sebelum melakukan henjutan untuk menamatkan perlumbaan selaku juara saringan.
Pelumba yang terkenal dengan gelaran The Pocket Rocketman itu berjaya mengenepikan pelumba sensasi Trinidad & Tobago, Nicholas Paul tempat kedua, manakala Henric Hackmann (Jerman) berada di kedudukan ketiga untuk menempah tiket ke penas final.
Sementara itu, separuh akhir kedua dimenangi pelumba Jepun, Minato Nakaishi diikuti jaguh Belanda, Harrie Lavreysen di tempat kedua dan wakil Jerman, Helal Rayan di kedudukan ketiga.
Aksi final yang dijangka berlangsung sengit itu akan bermula pada pukul 8.21 malam ini dengan tumpuan pastinya terarah kepada pertembungan antara Azizulhasni dan juara Olimpik lima kali, Lavreysen di pentas penentuan pingat emas. -KOSMO! ONLINE














