fbpx
JAGUH basikal negara, Azizulhasni Awang meraikan kejayaan selepas merangkul pingat emas dalam acara keirin pada Piala Dunia Trek di Velodrom Nasional Nilai.

Perlu sokongan penajaan kukuh jika ‘Jijoe’ ke Olimpik LA2028

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IMPIAN untuk melihat Datuk Azizulhasni Awang menggegar velodrom Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) bukan lagi sekadar soal kekuatan kayuhan semata-mata, sebaliknya memerlukan bentuk sokongan kewangan yang benar-benar kukuh.

Bekas Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Khairy Jamaluddin menggesa lebih banyak sektor swasta tampil lebih agresif menaja jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang agar pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 turun ke temasya berprestij dunia itu tanpa sebarang tekanan tambahan.

Khairy menegaskan, jika ‘The Pocket Rocketman’ memilih untuk melanjutkan karier ke LA28, keperluan terhadap sokongan sains sukan, pemulihan dan rawatan bertaraf tinggi menjadi keutamaan yang tidak boleh dikompromi bagi memastikan Azizulhasni kekal kompetitif di pentas dunia.

“Jika Azizul membuat keputusan untuk teruskan setahun dua tahun lagi, kita perlu bantu pastikan sokongan sains sukan, pemulihan dan rawatan berada pada tahap tertinggi,” kata Khairy ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam dan Penghargaan PKBM, malam kelmarin.

Beliau bagaimanapun berpendapat, kemungkinan tahap sokongan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) tidak lagi sama memandangkan status Azizulhasni yang juga mesra disapa dengan gelaran Jijoe kini bersaing sebagai pelumba profesional.

Justeru, Khairy menekankan peranan sektor swasta untuk tampil mengisi jurang tersebut bagi memastikan persiapan atlet negara itu tidak terjejas.

“Saya harap kalau tidak cukup daripada MSN, pihak swasta perlu datang membantu, seperti mana CIMB yang terus menyokong beliau,” jelasnya.

Dalam masa sama, Khairy turut memberi peringatan tegas agar jaguh berbasikal trek negara itu tidak terus ‘ditekan’ membuat keputusan terburu-buru ke Los Angeles dan masa depan jaguh berusia 38 tahun itu wajar diserahkan sepenuhnya kepada pertimbangan keluarga tanpa sebarang tekanan daripada mana-mana pihak luar.

“Beliau akan berlumba sehingga Sukan Asia (Aichi-Nagoya) dan selepas itu perlu berbincang dengan keluarga tentang apa yang mahu dilakukan. Saya tidak fikir adil untuk kita memberi tekanan kepada beliau untuk terus sehingga LA 2028 kerana beliau hampir 40 tahun dan sudah banyak berkorban masa bersama keluarga,” tambahnya.

Sejak berstatus pelumba profesional, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu terus membuktikan dirinya masih berbisa apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan acara keirin pada siri Piala Dunia Trek UCI tahun ini.

Kejayaan itu hadir selepas dia meraih pingat emas pada aksi final di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai minggu lalu iaitu kemenangan kedua Azizulhasni dalam kempen Piala Dunia Trek musim ini selepas turut muncul juara pada siri pertama di Perth, Australia, Mac lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN