PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat dan ribut petir membabitkan beberapa kawasan di Semenanjung, Sarawak dan Sabah hingga pukul 1 tengah hari ini.
MetMalaysia dalam kenyataan berkata, kawasan yang terlibat di Semenanjung adalah seluruh Perak (Bagan Datuk, Hilir Perak dan Muallim).
“Hujan lebat turut diramal berlaku di Selangor (Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling dan Kuala Langat),” lapor MetMalaysia.
Sementara itu di Sarawak, cuaca buruk dijangka berlaku di Miri (Subis dan Miri) manakala di Sabah melibatkan kawasan Pedalaman (Nabawan), Tawau (Tawau dan Semporna), Sandakan (Telupid, Beluran dan Sandakan) dan Kudat (Pitas dan Kudat).
Cuaca buruk itu turut dijangka berlaku di seluruh Labuan.
MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Jelasnya, amaran tersebut adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE













