fbpx
AZIZULHASNI Awang membuktikan kayuhan emasnya masih berbisa selepas menjuarai Piala Dunia Trek di Velodrom Nasional, Nilai sebentar tadi.

Malam penuh gemilang buat The Pocket Rocketman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NILAI – Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang masih sukar mempercayai kejayaannya selepas mencipta kemenangan luar biasa acara keirin pada Piala Dunia Trek UCI di Velodrom Nasional Malaysia, hari ini.

Pelumba berusia 38 tahun itu mengejutkan juara dunia dari Belanda, Harrie Lavreysen untuk meraih pingat emas keduanya dalam siri keirin musim ini selepas turut menjuarai pusingan di Perth, Australia bulan lalu.

Lavreysen yang bercita-cita untuk mengatasi Azizulhasni tidak berhasil apabila terpaksa berpuas hati mengakhiri perlumbaan tempat kedua dan pelumba Trinidad & Tobago, Nicholas Paul melengkapkan podium tempat ketiga.

“Sejujurnya untuk berlumba di halaman sendiri bukannya mudah disebabkan tekanan dan harapan tersebut. Namun, Alhamdulillah dengan pengalaman hampir 20 tahun di peringkat tertinggi, saya gunakan sebaik mungkin untuk kekal fokus.

“Saya mengambil pendekatan untuk fokus satu demi satu langkah sejak sesi pagi lagi. Bagi saya, malam ini sememangnya cukup istimewa di hadapan beraksi di laman sendiri, keluarga, isteri dan anak-anak. Mak saya pun ada dekat sini,” katanya sejurus tamat perlumbaan.

MALAM penuh magis buat Datuk Azizulhasni Awang selepas menoktahkan gelaran Piala Dunia Trek di Velodrom Nasional, Nilai.

Dalam aksi final, pelumba Terenganu itu memilih pendekatan bersabar sebelum memanfaatkan ruang sempit di selekoh terakhir untuk melancarkan serangan berani yang sukar dijangka lawan.

Strategi tersebut terbukti menjadi apabila Azizulhasni memecut tepat pada masanya untuk memintas pelumba utama sekali gus mengesahkan kemenangan penuh dramatik.

“Saya nampak ruang itu pada saat yang tepat dan gunakan pengalaman untuk lalu di celah-celah sebelum memecut sekuat mungkin hingga ke garisan penamat.

“Saya sendiri rasa seperti tidak percaya, tetapi dengan sorakan penyokong dan keyakinan diri, saya buktikan kita mampu lakukan sesuatu yang luar jangkaan,” katanya.

Azizulhasni masih mempunyai satu lagi cabaran dalam acara pecut individu esok, namun mahu berehat secepat mungkin untuk memastikan keadaan badannya benar-benar bersedia selepas meraih pingat gangsa dalam acara tersebut pada pusingan di Perth sebelum ini.

“Saya pun belum pasti bagaimana keadaan saya esok kerana semuanya bergantung sama ada saya dapat tidur malam ini atau tidak.

“Sejujurnya, saya juga sukar tidur sebelum acara pecut di Perth tempoh hari. Selepas ini saya perlu menjalani ujian doping dan urusan lain, jadi mungkin akan pulang lewat malam,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN