PETALING JAYA – Kerajaan mengarahkan pelaksanaan projek pembangunan 30 bilik darjah baharu di 10 sekolah di Seberang Perai Tengah dipercepatkan tanpa sebarang kelewatan bagi memastikan keperluan rakyat dapat dipenuhi segera.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu penting bagi memastikan kemasukan murid Tahun 1 pada tahun hadapan berjalan lancar tanpa gangguan.
“Keutamaan mesti diberikan sepenuhnya kepada projek ini. Tiada ruang untuk kelewatan kerana ia memberi kesan langsung kepada kebajikan dan masa depan anak-anak,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Anwar ketika mempengerusikan Mesyuarat Pembangunan Daerah Seberang Perai Tengah turut meneliti pelaksanaan pelbagai inisiatif berimpak tinggi termasuk pembasmian kemiskinan tegar, baik pulih gerai penjaja, program SejaTi Madani, Kampung Angkat Madani serta Sekolah Angkat Madani.
Menurutnya, semua pihak agar tidak sekadar bergantung kepada laporan di atas kertas, sebaliknya turun padang bagi memastikan tiada keluarga tercicir daripada bantuan.
“Laporan kemiskinan tegar sifar mesti disemak di lapangan bersama pemimpin setempat. Kita tidak mahu ada yang terlepas pandang,” ujarnya.
Mengulas aspek keselamatan, beliau berkata penurunan kadar jenayah perlu berpunca daripada keberkesanan tindakan penguatkuasaan, bukan kelemahan sistem pelaporan.
Katanya, tumpuan juga harus diberikan kepada isu kritikal setempat melibatkan pertanian, sistem saliran, tebatan banjir, pendidikan serta kesihatan.
“Setiap kelewatan membawa kesan kepada rakyat yang menunggu penyelesaian. Penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri mesti diperkemas supaya setiap keputusan dapat dilaksanakan secara tuntas,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menetapkan tempoh dua minggu kepada semua pihak berkaitan untuk mengemukakan laporan perkembangan dan tindakan susulan terhadap setiap keputusan yang telah dipersetujui.
“Ukuran sebenar bukan pada apa yang diumumkan, tetapi apa yang benar-benar berubah di lapangan. Rakyat mahu lihat perubahan itu sekarang, bukan nanti,” katanya. – KOSMO! ONLINE














