fbpx
Azam ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Masjid Kariah Kampung Terentang sempena Program Santuni Madani: Satu Pemimpin Satu Kampung, di Kuala Pilah, hari ini. Foto oleh NOR AINNA HAMZAH/ KOSMO!

Reman pempengaruh agama bakal disambung, nilai penyeleweng meningkat RM18 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA PILAH – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan reman seorang pempengaruh agama media sosial yang terkait salah guna kuasa dan penyelewengan dana sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bernilai jutaan ringgit akan disambung esok.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, berdasarkan siasatan lanjut yang dilaksanakan pihaknya, nilai penyelewengan yang sebelum ini sekitar RM12 juta kini mencecah sebanyak RM18 juta.

“Bagi kes NGO menyalahgunakan wang, dana sumbangan daripada orang ramai ini lebih RM18 juta telah kita sita daripada (dalam bentuk) wang tunai dan juga akaun-akaun telah dibekukan.

“Setakat ini, 15 saksi telah dirakam percakapan dan saya jangka lebih kurang 14 ke 15 saksi lagi kita akan panggil untuk bantu siasatan. Kita memerlukan lagi masa untuk mengesan dokumen dan juga saksi-saksi yang berkaitan untuk kita selesaikan di peringkat siasatan awal.

“Selain kita membuka kertas siasatan untuk melihat kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009, kita juga melihat kesalahan di bawah Seksyen 403 iaitu secara jenayah menggunakan harta secara curang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Masjid Kariah Kampung Terentang sempena Program Santuni MADANI: Satu Pemimpin Satu Kampung, di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun turut hadir menyempurnakan penyerahan masjid berkenaan.

Ujar Azam lagi, pihaknya juga turut membuka siasatan membabitkan kes pengubahan wang haram bagi kes berkenaan.

22 April lalu, media melaporkan, pempengaruh berkenaan berusia lingkungan 30an ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dan menyeleweng dana sebuah NGO berjumlah RM12.3 juta.

Individu itu dipercayai menyalahgunakan jawatannya dan bersubahat dengan dua ahli jawatankuasa lain dengan memindahkan wang ke dalam akaun bank miliknya serta lapan lagi akaun syarikat yang juga miliknya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Kosmo! difahamkan bahawa SPRM telah membekukan wang dalam akaun bank sebanyak RM16.6 juta, emas kira-kira RM2 juta, dan pelbagai mata wang.

-tamat-

Azam ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Masjid Kariah Kampung Terentang sempena Program Santuni Madani: Satu Pemimpin Satu Kampung, di Kuala Pilah, hari ini. Foto oleh NOR AINNA HAMZAH/ KOSMO!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN