PUTRAJAYA- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas pengarah sebuah syarikat telekomunikasi kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu.
Difahamkan, dokumen itu dikemukakan kepada sebuah institusi kewangan pembangunan sebagai dorongan memberi kelulusan pengeluaran pinjaman berjumlah kira-kira RM200 juta.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 70-an itu ditahan kira-kira pukul 10.35 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki bersubahat bersama beberapa individu lain yang telah dituduh sebelum ini dan melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2012,” katanya hari ini.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Tambah beliau, suspek akan dituduh Isnin depan di Mahkamah Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE














