SEREMBAN – Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun mengesahkan beliau akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16, namun kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditandinginya masih belum ditentukan.
Aminuddin yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, keputusan mengenai kerusi yang akan ditandinginya diserahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan parti kerana ia merupakan sebahagian daripada strategi parti dalam usaha memenangi PRN.
“Memang Loke (Anthony Loke) akan mempertahankan DUN Chennah, tapi saya belum putuskan. Saya akan bertanding cuma kerusi mana, belum ditetapkan.
“Saya sedang menanti mimpi,” katanya berseloroh ketika ditemui selepas Pelancaran Kempen Jentera PRN Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan di Seremban, awal pagi tadi.
Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan berkata demikian ketika mengulas spekulasi mengenai kedudukannya sama ada akan mempertahankan kerusi DUN Sikamat atau berpindah ke kawasan lain pada pilihan raya berkenaan. – KOSMO! ONLINE














