KOTA TINGGI – Barisan Nasional (BN) Johor tidak melihat pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan secara serentak atau berasingan sebagai faktor yang memberi kelebihan kepada mana-mana pihak.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kejayaan sesebuah parti dalam pilihan raya lebih bergantung kepada tahap persediaan dan keupayaan jentera masing-masing berbanding tarikh pelaksanaan pilihan raya.
Menurut Ahli Parlimen Kota Tinggi itu, BN Johor sentiasa berada dalam keadaan bersedia untuk menghadapi pilihan raya tanpa mengira sama ada ia berlangsung serentak dengan negeri lain atau sebaliknya.
“Kita tidak bergantung sama ada pilihan raya itu diadakan bersama atau tidak. Soal mengapa PRN Johor dan Negeri Sembilan diadakan secara berasingan, itu kena tanya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Masa Johor membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini, tidak timbul pun soal mahu diadakan serentak dengan Negeri Sembilan. Kita sendiri tidak tahu bila Negeri Sembilan akan mengadakan pilihan raya,”katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Jiwa Murni Madani Kementerian Pertahanan di Sekolah Kebangsaan (SK) Johor Kampung, di sini hari ini.
Semalam, SPR menetapkan penamaan calon bagi PRN Johor pada 27 Jun ini, diikuti pengundian awal pada 7 Julai dan hari pengundian pada 11 Julai.
Bagi Negeri Sembilan pula, penamaan calon ditetapkan pada 18 Julai, pengundian awal pada 28 Julai manakala hari pengundian pada 1 Ogos depan.
Tempoh berkempen bagi PRN Johor adalah selama 14 hari bermula 27 Jun hingga 10 Julai, manakala Negeri Sembilan dari 18 hingga 31 Julai.
Mengulas cabaran BN menjelang PRN Johor, Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan berkata, parti itu sudah berpengalaman menghadapi pelbagai pilihan raya dan sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
“Kita sudah melalui banyak pilihan raya. Kadang-kadang kita menang, kadang-kadang kita kalah. Yang penting kita sentiasa bersedia,” katanya. – KOSMO! ONLINE














