fbpx
Tangkap layar insiden langgar lari membabitkan sebuah kereta Perodua Myvi dan seorang penunggang basikal di di Jalan Wirawati 5, Kampung Pandan hari ini.

Pemandu langgar lari budak berbasikal pemegang kad OKU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang pemandu kereta jenis Perodua Myvi yang disyaki terlibat dalam insiden langgar lari membabitkan seorang penunggang basikal di Jalan Wirawati 5, Kampung Pandan, di sini, hari ini, bagi membantu siasatan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 7.26 pagi.

Menurutnya, kejadian melibatkan sebuah kereta Perodua Myvi yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun dengan sebuah basikal yang ditunggang seorang kanak-kanak lelaki yang masih belum dikenal pasti.

“kemalangan dipercayai berlaku semasa pemandu tersebut membelok keluar simpang ke kanan lalu melanggar bahagian belakang basikal mangsa sehingga menyebabkan mangsa terjatuh di atas jalan raya dan meninggalkan lokasi kejadian tanpa berhenti.

“Semakan lanjut mendapati pemandu menggunakan kenderaan adiknya dan merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) ketidakupayaan mental, namun mempunyai lesen memandu yang masih aktif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Zamzuri berkata, bagaimanapun, kecederaan penunggang basikal masih belum dapat dipastikan.

“JSPT menyeru kepada ahli keluarga mangsa penunggang basikal untuk hadir membuat laporan polis bagi membantu siasatan.

“Orang awam yang menyaksikan kejadian termasuk pemilik rakaman video dashcam diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Insp. Hazman di talian 019-208 9005 bagi membantu siasatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN