fbpx

Albert Tei, dua ADUN didakwa beri rasuah cari gali mineral

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Albert Tei (tiga dari kanan) antara tiga individu mengaku tidak bersalah berkaitan kes rasuah. Foto oleh IVAN AMIRUL/KOSMO!

KOTA KINABALU – Ahli perniagaan, Datuk Tei Jiann Cheing berdepan pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM350,000 yang dikaitkan dengan permohonan lesen untuk mencari gali mineral di negeri ini.

Beliau didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu hari ini mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Turut didakwa ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy dan ADUN Sindumin, Datuk Dr. Yusof @ Josree Yacob, masing-masing berdepan pertuduhan menerima rasuah daripada Jiann Cheing.

Kesemua mereka mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Jason Juga.

Jiann Cheing, 37, atau dikenali sebagai Albert Tei didakwa memberi suapan RM200,000 dan RM150,000 masing-masing kepada Andi dan Yusof sebagai dorongan membantu menguruskan permohonan ‘Prospecting License’ bagi mendapatkan lesen mencari gali mineral untuk dua syarikat.

Jiann Cheing boleh hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Andi, 44, yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan negeri, didakwa secara rasuah menerima suapan berupa wang tunai berjumlah RM150,000 daripada Jiann Cheing sebagai dorongan untuk membantu menguruskan permohonan ‘Prospecting License’ syarikat Sinaran Hayat Sdn. Bhd. bagi mendapatkan lesen untuk mencari gali mineral di negeri ini.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 12 Mei 2023 lebih kurang pukul 11 malam di hadapan kediaman tertuduh di Jalan Pantai Sembulan.

Dalam pada itu, Yusof, 69, didakwa menerima rasuah RM200,000 daripada Jiann Cheing sebagai dorongan membantu menguruskan permohonan ‘Prospecting License’ syarikat Nusa Kini Sdn. Bhd. bagi mendapatkan lesen untuk mencari gali mineral di negeri ini.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 6 Mac 2023 lebih kurang pukul 2 petang di Rooftop Bar & Grill @ Hilton Kota Kinabalu.

Andi dan Yusof didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.

Mahkamah menetapkan 5 Ogos depan untuk tarikh pengurusan kes.

Kedua-dua mereka dibebaskan dengan jaminan RM50,000, tetapi hanya RM10,000 didepositkan kepada mahkamah bersama seorang penjamin tempatan.

Albert pula dibebaskan dengan jaminan RM60,000, tetapi hanya RM15,000 didepositkan kepada mahkamah bersama seorang penjamin tempatan.

Mahkamah turut memerintahkan ketiga-tiga tertuduh melapor diri sekali sebulan di pejabat SPRM dan menyerahkan pasport mereka kepada mahkamah.

Ketiga-tiga tertuduh turut diingatkan supaya tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai dibicarakan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nurul Izzati Sapifee, Rustam Sanip dan Pegawai Pendakwa Rekhraj Singh, manakala peguam Datuk Ram Singh, Rizwandean Bukhary M Borhan, Shahlan Jufri dan Datin Jaharah Patimbangi mewakili Andi dan Yusof.

Jiann Cheing pula diwakili peguam Edward Paul, Batholomew Jingulam dan Jul Hamri Jumhani.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI