KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk meminda salah satu pertuduhan rasuah bekas Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Hakim Azura Alwi memutuskan demikian selepas mendapati pindaan tersebut adalah perlu bagi memastikan pertuduhan selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
“Walaupun pindaan tersebut hanya dikemukakan pada peringkat akhir kes pihak pendakwaan, mahkamah berpandangan perkara tersebut tidak akan memprejudiskan dan mendatangkan sebarang ketidakadilan terhadap OKT (Orang Kena Tuduh).
“Pihak-pihak mempunyai hak di bawah Seksyen 162 Kanun Tatacara Jenayah untuk memohon memanggil semula mana-mana saksi yang wajar berikutan pindaan kepada pertuduhan tersebut.
“Maka mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk meminda pertuduhan tersebut selaras dengan Seksyen 158 Kanun Tatacara Jenayah,” kata Hakim Azura.
Sejurus selepas pindaan pertuduhan dibenarkan, jurubahasa mahkamah kemudian membacakan semula pertuduhan tersebut yang mana perkataan “menerima” telah digugur.
Guan Eng yang mendengar semula pertuduhan yang dibacakan itu, kemudian mengekalkan pengakuan tidak bersalah.
“Ya saya faham, minta bicara,” katanya.
Mengikut pertuduhan pertama yang telah dipinda itu, Guan Eng didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu menggunakan kedudukannya untuk suapan wang berjumlah RM3.3 juta.
Ia dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6.34 juta antara Januari 2011 hingga Ogos 2017, di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.
Bagi pertuduhan kedua Guan Eng didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah, bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.
Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan berhampiran sebuah hotel, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara pukul 12.30 tengah malam hingga pukul 2 pagi pada Mac 2011.
Selain itu, beliau turut berdepan dengan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu.
Ahli Parlimen Bagan itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, di Bangunan Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.
Sebelum ini, pihak pendakwaan memaklumkan akan meminda salah satu pertuduhan rasuah yang dihadapi Guan Eng.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, pindaan itu membabitkan perkataan ‘menerima’ yang mana pindaan itu bagi memenuhi undang-undang di bawah Seksyen 23 akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE














