Sejak kali pertama ke Iran pada tahun tahun 2017 ketika AirAsia melancarkan penerbangan terus ke Tehran dengan harga promosi RM600, kami tidak dapat melupakan negara yang kaya dengan sejarah dan budaya ini.
Penduduknya yang ramah dan sangat meraikan tetamu membuatkan perasaan membuak-buak untuk ke sana lagi.
Ketika lawatan kedua pada awal tahun ini, kami ke Shiraz yang terkenal dengan Masjid Nasir al-Mulk (Pink Mosque), manakala pantulan cahaya pagi yang menembusi tingkap kaca berwarna menghasilkan corak indah di permaidani.
Ia secara langsung menjadi salah satu ‘spot’ fotografi ikonik di Iran.
Selama 17 hari di Iran, kami menginap di rumah yang menjemput kami untuk tinggal bersama melalui aplikasi Couchsurfing.
Percaya atau tidak, kami tidak perlu belanja satu sen pun untuk hotel di Iran. Hal ini kerana orang Iran rata-ratanya amat meraikan tetamu.
Kami tinggal di rumah mereka secara percuma dan diraikan dengan juadah makanan tradisi Iran.

Ada kalanya tuan rumah membawa kami bersiar-siar di bandar. Anak-anak kami berpeluang berkawan dengan anak-anaknya.
Mereka bermain bersama walaupun berbeza bahasa. Semestinya pengalaman berharga ini jarang kami jumpa di negara lain.
Sementara itu, untuk masuk ke Iraq, rakyat Malaysia dikenakan bayaran visa sebanyak AS$55 (RM232.49) seorang. Sementara di Iran, kita boleh masuk ke negara ini tanpa visa selama 14 hari.
Tidak seperti digambarkan oleh media Barat, Iran adalah negara yang sangat aman, maju dan bersih.
Di Tehran, wanita berpakaian moden adalah pemandangan biasa, manakala di kota suci seperti Qom dan Mashhad, mereka berkelubung lengkap dengan chador.
Ketika memasuki masjid, pelawat diwajibkan memakai chador yang disediakan.
Setiap bandar dilawati mempunyai tarikan berbeza. Di Yazd, terdapat pusat agama kuno iaitu Majusi dengan obor api yang tidak pernah padam.
Qom pula adalah kota suci kedua selepas Mashhad.
Di Hamedan, bersemadinya Ibnu Sina iaitu tokoh perubatan Islam tersohor.

Sanandaj pula bandar dikelilingi pergunungan bersalji yang indah.
Sementara ibu negara, Tehran merupakan kota metropolitan yang dihuni seramai 9 juta penduduk.
Ia dilengkapi dengan bangunan tinggi dan moden, selain fasiliti pengangkutan yang setaraf Eropah.
Suasana di Iraq agak berbeza dari Iran. Beberapa tempat di Iraq masih kekal dengan bangunan lama dan kemudahan agak terhad.
Namun dengan mengambil kira faktor pasca perang tahun 2003, keadaan di Iraq adalah selamat untuk dikunjungi, tidak seperti yang kami bayangkan sebelum ini.
Kota Baghdad yang dihuni lebih 11 juta orang adalah daripada latar belakang berbeza.
Kita dapat saksikan kereta mewah berselisih dengan pekerja buruh menarik troli kayu bersama-sama kuda penarik barang.
Di Iraq, kami melawat muzium yang kaya dengan arktifak asli sejarah tamadun purba Babylon dan Mesopotamia yang selama ini cuma dilihat di dalam buku Sejarah.
Kami juga menyusuri Sungai Tigris dengan menaiki feri bersama rakan, Dr. Ekhlas.
Kami juga ke Najaf iaitu kota suci bersemadinya Saidina Ali bin Abi Talib dan juga Masjid Kufa iaitu antara masjid terawal dibina pada abad ketujuh.
Di hujung kembara, kami ke Sulaymaniyah iaitu bandar di wilayah Iraq Kurdistan, dengan majoriti penduduk adalah kaum Kurds yang juga wujud di Turkiye, Iran dan Syria.
Mereka bertutur dalam bahasa Kurdish dan mempunyai budaya dan mazhab berbeza daripada penduduk Arab Iraq.
Di sebelah Iran pula, bandar Sanandaj dan Kermanshah mempunyai ramai penduduk Kurds yang bermazhab Sunni.
Pengembaraan kami ke Iran dan Iraq tidak hanya menikmati pemandangan indah. Sebaliknya, kemesraan dan layanan mesra penduduk tempatan sentiasa tersemat di hati kami.














