Saya bersama beberapa orang rakan telah berpeluang ke Sungai Jarum iaitu salah satu jajaran anak sungai yang bersambung dengan Sungai Setuan Terengganu. Seawal pukul 8 pagi, kami telah tiba di Pengkalan Lawit, Tasik Kenyir.
Tidak lama selepas itu, tekong Hafiz Husin pun sampai. Setelah semuanya bersedia, kami bergerak ke lubuk yang mengambil masa lebih kurang satu jam.
Ini sebenarnya kali pertama kami mencuba stream fishing dan menggunakan peralatan ultralight. Sudah tentu ini merupakan cabaran baharu buat kami.
Setelah kami sampai ke Sungai Jarum, air kelihatan semakin cetek. Kami terpaksa turun dan menolak bot sejauh yang boleh di anak sungai tersebut. Jam menunjukkan pukul 9 pagi, kami pun menyiapkan peralatan dan mula bersarapan bagi mengumpul tenaga untuk meredah hutan serta meranduk sungai.
Sampainya kami ke lubuk pertama, gewang sesudu rakan saya disambar seekor tengas. Jorannya melentur menahan asakan tengas tersebut yang cuba memecut dengan mengikut arus. Akhirnya, dia berjaya menaikkan tengas pertama trip.
Sepanjang mudik ke lubuk yang lebih jauh, kami tidak melepaskan peluang melontar ke arah arus sungai berbuih putih.
Menurut tekong, kebanyakan tengas di sini suka berkumpul di kawasan tersebut.
Di situ jugalah saya mendapatkan ‘lesen’ tengas pertama dengan menggunakan sesudu seberat 2.5 gram (g).
Tarikan tengas tersebut cukup terasa apabila saya menggunakan set pancing berkekuatan 2-6 paun (lb). Selain tengas, kami juga berjaya menaikkan ikan sebarau bersaiz kecil dan baung akar.
Setelah beberapa jam meranduk, kami berhenti di satu lubuk yang cantik dan dalam airnya. Kelihatan ikan tengas yang agak kasar saiznya bermain-main di celahan batu, namun gewang kami semua tidak dilayan.
Kami pun membuat keputusan untuk menukar strategi daripada mengilat kepada teknik pancingan dasar. Umpan cengkerik yang telah dibeli sehari sebelumnya menjadi taruhan kami.
Umpan terus bersahut sebaik mencecah dasar. Melihat ikan yang cukup galak membaham cengkerik, kami semakin bersemangat untuk memancing.
Sejumlah 25 ekor ikan tengas berjaya dinaikkan dengan umpan dan lebih kurang 15 ekor lagi berjaya diperdayakan menerusi gewang.

Lokasi
Bagi pemancing yang bertolak dari Pengkalan Lawit menggunakan bot, perjalanan akan memakan masa lebih kurang sejam untuk ke Sungai Setuan.
Bagi pemancing yang ingin turun di pengkalan lebih dekat untuk menjimatkan wang dan minyak, mereka boleh memandu kereta lebih kurang setengah jam lagi ke kawasan rumah rakit Sungai Setuan dan menyewa bot di sana.
Walaupun dekat, namun perjalanan ke Sungai Jarum memakan masa agak lama kerana bot akan dipandu perlahan bagi mengelak terlanggar tunggul yang berselerak di sepanjang Sungai Setuan.
Untuk ke lokasi berpotensi pula, pemancing akan meranduk kawasan air cetek dan melangkah batu-batuan yang agak licin.
Masa terbaik
Menurut tekong, waktu terbaik untuk memancing tengas di lubuk ini adalah saat paras air tasik tinggi. Ini kerana, pemancing tidak perlu berjalan jauh untuk sampai ke lubuk yang dihuni oleh tengas bersaiz sedap mata memandang.
Menurutnya lagi, servis untuk membawa pemancing ke lubuk ini akan dihentikan saat air tasik mulai surut mendadak.
Sedikit peringatan, seeloknya pemancing mula keluar dari kawasan ini apabila hari hujan lebat bagi mengelakkan kejadian kepala air.
Gewang dan teknik
Gewang yang biasa digunakan bagi mengilat tengas adalah minnow, inline spinner atau sesudu mikro dengan berat antara satu hingga lima gram dan bersaiz antara empat hingga lima sentimeter (sm).
Bagi mengilat tengas, lontaran pertama paling penting dan berpotensi tinggi untuk mendapatkan strike.
Selain itu, cuba untuk tidak menonjolkan diri dengan menyorok di sebalik batu atau pokok bagi mengelak ikan menjadi culas kerana sungai cetek dengan air yang jernih.
Di samping itu, karauan gewang juga perlu berterusan dan laju bagi menarik perhatian ikan tengas untuk menyambarnya.
Kebiasaannya, ikan tengas gemar menghendap di sebalik batu dan di celah-celah reba kayu di kawasan berarus laju serta berbuih.
Manfaatkan kawasan-kawasan sebegini bagi meningkatkan peluang untuk mendapatkan spesies itu.
Bagi pancing dasar pula, pelbagai umpan boleh digunakan, contohnya sawit, cengkerik, cacing, belalang, roti, sosej yang dipotong kecil dan banyak lagi.














