PUTRAJAYA – Trend pengubahsuaian jajaran tayar kenderaan atau lebih popular dikenali tayar kangkang bukan sahaja disifatkan sebagai satu pembaziran, malah turut mengundang bahaya kepada pemandu serta pengguna jalan raya.
Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan, Datuk Zailani Hashim berkata, penggunaan tayar sedemikian boleh mengurangkan kestabilan dinamik kenderaan semasa bergerak dalam laluan yang lurus sekali gus boleh menyebabkan kemalangan.
Justeru katanya, JPJ memberi amaran kepada mana-mana pemilik kereta supaya tidak memasang tayar hellaflush atau tayar kangkang pada kenderaan masing-masing.
“Pergerakan kenderaan yang telah diubah suai akan menjadi tidak stabil apabila bergerak di jalan yang lurus disebabkan kurangnya cengkaman tayar pada permukaan jalan.
“Malah, penggunaan tayar berkenaan juga boleh mengurangkan tahap kecekapan ketika membrek disebabkan kurangnya cengkaman tayar pada permukaan jalan,” katanya kepada Kosmo!.

Beliau menambah, tayar dan rim yang telah diubah akan mempercepatkan kehausan bunga tayar kenderaan serta kehausan tayar yang tidak seragam.
“Daya kekuatan struktur kenderaan tidak kuat kerana kedudukan tayar yang tidak stabil.
“Selain itu, ia juga meningkatkan penyelenggaraan dan penggantian komponen,” katanya.
Tegas Zailani, individu yang ingkar boleh dikompaun sebanyak RM300 atau jika dibawa ke mahkamah tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 119(2) Kesalahan Am dan Penalti Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau enam bulan penjara.
Sementara itu, Ketua portal automotif atas talian, Drebar.my, Erywan Nor Shal ketika dihubungi berkata, trend tayar kangkang ini dipercayai bermula di Asia yang mana berlaku modifikasi pada bahagian tayar yang direndahkan ke tahap maksimum.
Menurutnya, trend itu sebenarnya sudah lama bertapak di Malaysia, namun ia banyak ditemui pada acara pertunjukan kereta.
“Bagi peminat trend berkenaan, modifikasi itu nampak cantik pada luaran kereta tetapi sebenarnya ia lebih menyeksakan kereta kerana kereta sukar untuk dipandu dengan baik dan selesa.
“Paling teruk, ia akan merosakkan bahagian bawah kereta dan sukar melepasi bonggol atau jalan tidak rata,” katanya.

JPJ kesan 133 kenderaan telah diubah suai jadi hellaflush
PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memaklumkan pihaknya mengesan sebanyak 133 buah kenderaan yang melakukan kesalahan pengubahsuaian jajaran tayar kenderaan atau tayar hellaflush dalam tempoh tiga tahun sejak 2018.
Ketua Pengarahnya, Datuk Zailani Hashim berkata, berdasarkan rekod JPJ, berlaku pertambahan kes antara 2018 dan 2019 sebelum kes berkenaan menurun pada tahun lalu.
Katanya, sebanyak 52 kes direkodkan pada 2018, manakala 68 kes pula pada 2019.
“Tahun lalu, ia menurun kepada 13 kes sekakli gus menunjukkan bahawa advokasi berterusan dan penguatkuasaan yang dijalankan JPJ terhadap kesalahan itu membuahkan hasil.
“JPJ mengakui terdapat pertambahan kes bagi tahun 2019, namun jabatan ini sentiasa menjalankan penguatkuasaan terhadap mana-mana pemandu dan pemilik yang mengubah suai kenderaan sehingga boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain,” katanya kepada Kosmo!.
Zailani berkata, Kuala Lumpur merekodkan kes tertinggi bagi kesalahan penggunaan tayar hellaflush iaitu 27 kes masing-masing 11 dan 16 kes bagi tahun 2018 dan 2019.
Ini diikuti Johor dan Selangor yang masing-masing merekodkan 23 dan 21 kes untuk tempoh dua tahun berkenaan.
Sementara itu, Zailani berkata, golongan pemilik kereta yang memodifikasi kereta menggunakan tayar hellaflush dipercayai terikut-ikut trend pengubahsuaian tayar dari negara luar.
“Pada mereka, ia mungkin (ubah suai) kelihatan cantik dan kelihatan lain daripada lain, namun pada hakikatnya pengubahsuain yang dibuat akan mengundang bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.















