PONTIAN – Seorang warga usia emas maut apabila motosikal yang dia tunggang bergesel dengan motosikal lain di Jalan Kampung Parit Asam Kumbang Darat, Benut, di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, nahas melibatkan mangsa dikenali sebagai Masran Mohd. Idar, 65, dan pelajar perempuan berusia 17 tahun.
Katanya, kejadian dipercayai berlaku pada pukul 6.45 petang apabila kedua-dua mangsa dari arah sama bergesel menyebabkan mereka terjatuh atas jalan.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa warga emas mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Benut kira-kira 45 minit kemudian.
“Pelajar perempuan pula yang cedera ringan di muka dan tangan dihantar ke Hospital Pontian bagi mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE