PETALING JAYA – Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPM) mempunyai peranan yang amat penting dalam menyediakan ruang dan peluang untuk ahli memahami serta menyesuaikan diri dengan teknologi masa kini.
Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah bertitah, dunia kini berada dalam peredaran masa yang amat pantas yang mana kemajuan teknologi berkembang dengan begitu pesat.
“Kecerdasan Buatan (AI) bukan lagi sesuatu yang asing, bahkan ia telah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian kita.
“Saya percaya bahawa anak-anak gadis yang berada dalam persatuan ini akan dibimbing menjadi celik digital, bijak memanfaatkan teknologi dan pada masa yang sama kekal beretika serta berjiwa insan,” titah Seri Paduka Baginda yang juga merupakan Penaung Diraja PPM.
Raja Permaisuri Agong bertitah demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pandu Puteri Malaysia Kali ke-60 Tahun 2025 di Kota Bharu, Kelantan, hari ini.
Turut berangkat bersama-sama mencemar duli ke majlis itu, Sultanah Kelantan, Sultanah Nur Diana Petra Abdullah dan YAM Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor.
Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Persidangan Pandu Puteri dan Mesyuarat Agung Tahunan ke-60 PPM berlangsung empat hari dari 19 hingga 22 Mei. – KOSMO! ONLINE.