SHAH ALAM- Pemergian adik kesayangannya 21 tahun lalu menjadi semangat buat Amelia Shafinaz Azmi Faez untuk menamatkan pengajian dengan keputusan cemerlang dalam Ijazah Sarjana Muda Kesenian Liberal (Kepujian) di Management and Science University (MSU).
Menurut penerima Anugerah Pingat Emas Canselor, adiknya, Amelin Shafinaz meninggal dunia semasa menerima rawatan setelah disahkan mengidap penyakit berkaitan genetik di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) ketika berusia setahun.
“Kalau Amelin masih hidup, dia pasti gembira melihat saya mengambil skrol dan anugerah ini.
“Tetapi Allah lebih sayangkannya dan telah mengambilnya lebih awal. Saya reda dengan ketentuan yang ditetapkan-Nya. Anugerah ini untuknya,” katanya selepas Majlis Konvokesyen ke-35 MSU di Dewan Canselor MSU di sini, hari ini.
Menurut Amelia Shafinaz, 26, dia merancang untuk menyambung pengajian di Universiti Princeton, Amerika Syarikat dalam bidang Ijazah Perhubungan Awam (Public Relation).
Ketika ini, dia sedang bekerja di sebuah pusat perubatan swasta dan sedang mengendalikan sebuah projek berkaitan penjagaan kanak-kanak dan warga emas.
Sementara itu, penerima Anugerah Presiden, Putri Ely Qistina Shariff, 25, sasarannya yang mahu mencatat keputusan cemerlang pada setiap semester akhirnya berbaloi dengan penerimaan anugerah itu.
Menurut graduan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa (Kepujian), dia sentiasa memastikan setiap subjek yang diambil mendapatkan keputusan cemerlang, lantas sentiasa memberikan tumpuan ketika waktu kuliah.
“Malah untuk kerja berkumpulan mana-mana rakan yang hanya nak jadi penumpang dalam kumpulan saya tidak benarkan mereka masuk kumpulan saya.
“Bagi saya, untuk mencapai apa-apa sahaja hasil tidak kira dalam akademik atau apa-apa perkara dalam hidup, kita perlu bekerja keras dan berusaha supaya hasil yang diperoleh adalah yang terbaik.
“Oleh itu, saya menyasarkan untuk menjadi Senior Business Assistant dalam tempoh tiga tahun lagi di syarikat insurans yang saya kerja ketika ini. Saya kini menjawat jawatan Junior Business Assistant,” kata anak jati Kuala Lumpur itu. – KOSMO! ONLINE