KEPUTUSAN cemerlang dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) tinggi bukan lagi jaminan mutlak untuk seseorang graduan memperoleh pekerjaan dalam pasaran kerja yang semakin kompetitif.
Perubahan landskap industri, perkembangan teknologi dan keperluan kemahiran baharu menyaksikan majikan lebih cenderung mencari calon yang mempunyai nilai tambah selain pencapaian akademik.
Malah, ramai graduan yang berjaya menempatkan diri dalam syarikat ternama bukan sahaja kerana keputusan peperiksaan yang baik, tetapi memiliki pengalaman latihan industri, kemahiran komunikasi, penguasaan bahasa asing serta sijil profesional yang diiktiraf.
Pensijilan profesional seperti dalam bidang teknologi maklumat, analitik data, keselamatan siber, pengurusan projek dan automasi industri kini menjadi antara kelebihan yang diperlukan majikan.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, persaingan mendapatkan pekerjaan pada masa kini jauh lebih mencabar berbanding sebelum ini kerana ramai graduan memiliki kelayakan akademik yang baik, sekali gus menjadikan nilai tambah sebagai elemen pembeza utama.
“Kalau kita nak dapat kerja, pelajar wajib ada kualiti pendidikan yang baik, yang boleh dilihat berdasarkan kepada CGPA. CGPA yang lebih tinggi, lebih baik untuk mereka.
“Tetapi CGPA yang baik itu hanya sekadar untuk membolehkan mereka dipanggil temu duga. Sama ada dia berjaya atau tidak, itu adalah melangkaui keputusan akademik,” katanya.
Menurutnya, graduan perlu melengkapkan diri dengan nilai tambah seperti penguasaan pelbagai bahasa, kemahiran berfikir secara kritis, kestabilan emosi dan kebolehan menyesuaikan diri dengan keperluan industri yang sentiasa berubah.
Sementara itu, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, pihaknya mengambil langkah memastikan pelajar mempunyai nilai tambah melalui pemilikan sijil profesional yang berkaitan dengan bidang pengajian.
“Sebagai contoh program Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia. Kita wajibkan semuanya mengikuti Sijil Profesional OSH (Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan).
“Sijil itu akan membantu mereka mendapatkan pekerjaan kerana Sijil Profesional OSH ini diiktiraf oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.
“Di samping itu, kita ada Sijil CILT (Chartered Institute of Logistics and Transport) untuk program pengangkutan dan logistik. Bagi program perakaunan pula, kita memasukkan sembilan kursus ACCA (Association of Chartered Certified Accountants) ke dalam kurikulum supaya pelajar mempunyai laluan lebih mudah untuk menjadi akauntan bertauliah,” jelasnya.
Beliau berkata, UUM turut melaksanakan program School of Hard Knocks yang menempatkan pelajar tahun akhir di industri selama setahun bagi memberi pendedahan sebenar kepada dunia pekerjaan.
Katanya, program tersebut bukan sahaja membantu pelajar memahami keperluan industri, malah membuka peluang kepada mereka untuk menjalani latihan praktikal dan seterusnya diserap masuk sebagai pekerja sekiranya menunjukkan prestasi yang baik.














