JAKARTA – Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh, manakala 41 lagi masih hilang selepas sebuah feri terbakar di perairan berhampiran Pulau Madura, Indonesia hari ini, lapor agensi berita Anadolu.
Feri tersebut dilaporkan dalam pelayaran dari Surabaya, wilayah Jawa Timur ke Makassar, wilayah Sulawesi Selatan dengan membawa 271 penumpang serta anak kapal.
Pihak berkuasa mengesahkan seramai 225 orang berjaya diselamatkan.
Pasukan penyelamat sedang memindahkan penumpang, termasuk beberapa orang yang terjun ke dalam laut untuk menyelamarkan diri daripada kebakaran, lapor laman berita Jakarta Globe.
Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Surabaya, Nanang Sigit berkata, beberapa kapal yang berdekatan dengan lokasi kejadian menyertai operasi menyelamat.
“Feri itu terletak kira-kira 19 batu nautika dari Pulau Buruan Sapudi, daratan terdekat,” kata Nanang.
Rakaman video dimuat naik di media sosial menunjukkan kepulan asap tebal naik ke udara ketika feri dijilat api.
Penumpang yang memakai jaket keselamatan dilihat berkumpul di satu bahagian. – AGENSI














