PEKAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya merampas 200,000 liter minyak diesel bersubsidi bernilai RM480,000 yang cuba diseludup melalui sebuah kapal dalam satu serbuan di sebuah jeti di sini dua hari lalu.
Dalam serbuan itu pihak KPDN turut merampas kapal bernilai RM85,000 yang digunakan bagi membawa diesel bersubsidi berkenaan.
Pengarah KPDN Pahang, Jezlily Jamaluddin berkata, dalam serbuan atas atas maklumat risikan yang diterima daripada pihak polis menemukan sebuah kapal yang sedang berlabuh dalam keadaan mencurigakan di jeti berkenaan.
“Pemeriksaan yang dijalankan mendapati kapten kapal yang merupakan seorang warga asing telah memaklumkan bahawa kapal tersebut terpaksa berlabuh kerana mengalami kerosakan.
“Beliau turut memaklumkan bahawa minyak diesel yang dibawa digunakan bagi tujuan pembaikan kapal dan untuk diagihkan kepada 30 buah kapal lain milik syarikat yang berpangkalan di Miri, Sarawak,”katanya.
Tambahnya, kapten kapal berkenaan juga telah mengisytiharkan sejumlah 200,000 liter minyak diesel berada dalam simpanan kapal semasa pemeriksaan diadakan.
Katanya, namun begitu, kapten kapal berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen sah daripada pengawal bekalan berkaitan pemilikan atau urus niaga minyak diesel yang dibawa.
“Pemeriksaan fizikal seterusnya telah menjumpai cecair berwarna kuning yang disyaki minyak diesel bersubsidi dalam lapan kompartmen tangki kapal.
“Berikutan kegagalan mengemukakan dokumen sah dan penemuan bahan kawalan berjadual tanpa lesen yang sah, satu tindakan kes telah diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.
Jelasnya, tindakan sitaan dibuat ke atas minyak diesel disyaki sebanyak 200,000 liter dengan nilai anggaran sebanyak RM480,000 dan sebuah kapal dianggarkan bernilai RM85,000 dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM565,000.
Beliau memberitahu, pihaknya turut menahan kapten kapal serta seorang individu bagi siasatan lanjut.
Sementara itu beliau mengingatkan kepada semua pihak bahawa pemilikan dan pengedaran barang kawalan seperti minyak diesel tanpa lesen yang sah adalah satu kesalahan serius di bawah undang-undang negara.
Justeru katanya, tindakan tegas akan terus diambil bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan penyelewengan barang kawalan di perairan negara. – KOSMO ONLINE