PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan telah menerima dan meluluskan lebih 30,000 permohonan sehingga semalam melibatkan pemilik kenderaan diesel persendirian bagi meningkatkan had kelayakan bulanan Budi Madani Diesel (Budi Diesel) mereka iaitu daripada 200 liter kepada 300 liter.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, permohonan tersebut diterima secara dalam talian melalui portal rasmi yang disediakan.
“Dalam pelaksanaan Budi Diesel, kita memahami yang target untuk Budi Diesel ini termasuklah mereka yang mungkin peniaga-peniaga kecil, penjaja, dan lain-lain termasuk mereka yang menawarkan servis (perkhidmatan) dan untuk mereka yang duduk di pedalaman, jadi penggunaannya mungkin lebih sikit.
“Jadi, kita juga membuka ruang di mana mereka boleh memohon untuk kuota yang lebih, daripada 200 liter kepada 300 liter. Dan sampai semalam, saya rasa lebih pada 30,000 orang telah memohon dan mendapat kelulusan dalam aplikasi yang disediakan itu,” katanya menerusi sidang akhbar selepas meninjau pelaksanaan hari pertama Budi Diesel di sebuah stesen minyak di Presint 8, di sini hari ini.
Budi Diesel yang bermula hari ini membolehkan pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak untuk membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter.
Pelaksanaan itu dijangka memanfaatkan kira-kira 400,000 pemilik kenderaan diesel persendirian di Semenanjung serta 300,000 lagi di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan. – KOSMO! ONLINE














