fbpx
Gambar hiasan.

Kelayakan Budi Diesel boleh dipindahkan kepada ahli keluarga – Fuziah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak di bawah program Budi Madani kini dibenarkan memindahkan kelayakan subsidi diesel kepada ahli keluarga terdekat yang merupakan pengguna sebenar kenderaan berkenaan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr. Fuziah Salleh menerusi satu hantaran di laman Facebook berkata, kemudahan itu diberikan bagi memastikan subsidi diesel benar-benar dinikmati pengguna sebenar tanpa perlu menukar hak milik kenderaan.

Katanya, pemindahan kelayakan boleh dibuat sekiranya kenderaan masih didaftarkan atas nama pemilik asal tetapi digunakan sepenuhnya oleh pasangan, anak, ibu bapa atau adik-beradik.

“Pemilik hanya perlu memindahkan kelayakan Budi Diesel kepada pengguna sebenar melalui portal Budi Madani tanpa perlu menukar hak milik kenderaan.

“Sebagai contoh, jika sebuah kenderaan masih didaftarkan atas nama ibu tetapi digunakan setiap hari oleh anak, ibu tersebut boleh memindahkan kelayakan subsidi kepada anaknya,” katanya.

Menurutnya, pemindahan itu hanya dibenarkan sekali dan kepada seorang penerima sahaja.

Dalam pada itu, Fuziah berkata, kerajaan turut memberi pengecualian fi Tukar Hak Milik selama tiga bulan bermula 1 Julai ini kepada mereka yang ingin mengemas kini rekod pemilikan kenderaan di Jabatan Pengangkutan Jalan.

Katanya, langkah berkenaan diperkenalkan bagi memastikan subsidi diesel sampai kepada golongan yang benar-benar layak di samping mengurangkan ketirisan dan penyalahgunaan.

Beliau turut mengingatkan bahawa kelayakan asas subsidi ialah sebanyak 200 liter sebulan, manakala pemilik jip persendirian yang layak boleh memohon tambahan 100 liter melalui portal Budi Madani atau secara bersemuka di pejabat LHDN. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN