fbpx
Gambar hiasan

Jip dan pikap syarikat layak terima subsidi diesel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kerajaan hari ini memperluaskan kelayakan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) kepada kenderaan persendirian syarikat bagi kategori jip dan pikap bagi memastikan penyaluran subsidi diesel lebih bersasar serta menyeluruh.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, peluasan itu merupakan sebahagian daripada mekanisme penyasaran subsidi diesel yang dilaksanakan kerajaan melalui beberapa saluran utama.

Menurut beliau, penyaluran subsidi diesel ketika ini dilaksanakan melalui Budi Diesel dan Budi Agri-Komoditi di bawah seliaan Kementerian Kewangan, Skim Subsidi Diesel Nelayan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta SKDS yang dikendalikan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

“Melalui SKDS, manfaat subsidi diesel diberikan kepada entiti perniagaan, syarikat dan koperasi yang berkelayakan di seluruh negara.

“Penyaluran subsidi adalah melalui kaedah ‘fleet card’ dengan kadar kuota tetap yang berbeza mengikut jenis badan, kelas kegunaan dan kategori teknikal kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, sektor baharu yang diperkenalkan itu melibatkan sektor pengangkutan darat (persendirian syarikat – jip dan pikap), menjadikannya tambahan kepada sektor sedia ada iaitu awam dan barangan keperluan pengguna.

“Dengan penambahan ini, keseluruhan jenis kenderaan dan kelas kegunaan yang terlibat di bawah SKDS adalah berjumlah 35.

“Bagi sektor baharu tersebut, permohonan pendaftaran dibuka bermula hari ini dan kelayakan subsidi akan berkuat kuasa bermula 15 Julai 2026 tertakluk kepada kelulusan dan pemilikan ‘fleet card’.

Antara syarat kelayakan ditetapkan ialah kenderaan mesti didaftarkan sebagai kenderaan perniagaan di bawah kod kegunaan Persendirian Syarikat (AE) dalam sistem MySikap Jabatan Pengangkutan Jalan.

Selain itu, perniagaan perlu berdaftar sebagai milikan tunggal atau perkongsian dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia atau pihak berkuasa tempatan di Sabah dan Sarawak.

Kata Armizan, subsidi ini disasarkan untuk memanfaatkan para peniaga mikro dan kecil yang berdaftar sebagai perniagaan milikan tunggal dan perkongsian.

“Sehubungan itu, pemilik perniagaan yang berkelayakan adalah digesa membuat permohonan pada kadar segera melalui portal MySubsidi di pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN