PETALING JAYA – Keakraban seorang lelaki India bersama ibu angkatnya iaitu wanita warga emas Melayu yang sering bersarapan bersama-sama setiap hari meraih pujian orang ramai terhadap hubungan erat mereka.
Menerusi video dikongsikan oleh Timbalan Naib Canselor University College i-CATS Kuching, Profesor Datuk Dr. Shazali Abu Mansor pada TikTok memaparkan ibunya berbual bersama lelaki tersebut sambil bersarapan di meja makan.
Kelihatan lelaki India itu makan roti canai bersama ibunya dan turut disediakan menu nasi di atas meja.
“Seorang sembahyang kuil, seorang di masjid. Tapi hari-hari Black dan ‘omak’ (emak) sarapan sama-sama sambil bercerita,” menurut kapsyen video beliau.
Pada ruangan komen, ramai yang memuji keakraban keluarga tersebut selain menyifatkan ia menunjukkan keharmonian hidup di negara ini yang berbilang kaum dan agama.
“Orang dulu-dulu memang terbaik, bukan macam zaman sekarang. Ikut hati dan perasaan,” komen Ku Azman.
“Ini lah Malaysia yang dahulu,” kata Baranidharan.
“Generasi ini yang terbaik, terima kasih jadi contoh kepada kami,” ujar Kumaranskl.
“Teori dia senang saja. Kalau yang pernah duduk membesar dan bersekolah bersama-sama. Insya-Allah, mereka akan berkawan baik,” kata Min Zahari. – KOSMO! ONLINE
@shazaliabumansor♬ Kasih Sayang – Favourites Group














