MELAKA – Seorang ibu tunggal didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, hari ini atas dua pertuduhan iaitu memiliki bahan lucah dalam telefon bimbit miliknya serta menyebarkan gambar bogel rakannya yang telah disunting di media sosial, minggu lalu.
Tertuduh, T.V. Pavithra, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki bahan-bahan lucah dalam sebuah telefon bimbit jenis iPhone 17 Pro Max miliknya di sebuah unit kondominium di Kota Laksamana Jaya, Melaka Tengah kira-kira pukul 6.15 petang pada 28 Jun lalu.
Sabit kesalahan, dia boleh didakwa mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa dengan niat menggunakan komunikasi melalui media sosial untuk menyebarkan gambar bogel yang didakwa telah diubah suai milik seorang wanita berusia 36 tahun, yang perbuatan itu berkemungkinan menimbulkan gangguan, distres, ketakutan atau kebimbangan kepada mangsa.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Melaka Raya kira-kira pukul 11 malam pada 24 Jun lalu dan boleh didakwa mengikut Seksyen 507B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif memohon tarikh sebutan semula bagi tujuan lantikan peguam dan serahan dokumen selain mencadangkan jaminan RM10,000 bersama syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Izzuddin Ab. Malek merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan dia merupakan ibu tunggal kepada seorang anak dan hanya menjalankan perniagaan dalam talian dengan pendapatan sekitar RM2,000 sebulan.
Tambahnya, dia juga menanggung ibu dan seorang adik yang merupakan orang kurang upaya (OKU) fizikal dan mental.
Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin serta mengenakan syarat tambahan supaya tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan tarikh 5 Ogos depan sebagai sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.- KOSMO! ONLINE














