KONSERT Black On White: Cromok-Barbarik yang berlangsung di Idea Live Arena, 3 Damansara Sabtu lalu membuktikan muzik rock dan thrash metal tempatan masih ‘bernyawa’ serta mempunyai kelompok peminat tersendiri.
Menggabungkan dua nama besar Cromok dan Barbarik, persembahan mereka berjaya menghadirkan pengalaman konsert yang kemas, bertenaga dan tidak meleret, sekali gus membuatkan peminat pulang dengan wajah puas.
Lebih menarik, vokalis Barbarik, Muss tetap memberikan komitmen terbaik meskipun sedang berperang emosi susulan keadaan isterinya yang terlantar sakit.
Dari sudut persembahan, Black On White boleh dianggap sukses apabila perjalanan konsert berlangsung lancar tanpa gangguan teknikal besar. Sistem bunyi juga kedengaran kemas dan seimbang, membolehkan penonton menikmati karakter muzik kedua-dua kumpulan dengan jelas.
Pemain gitar Cromok, Karl menyifatkan konsert tersebut sebagai sesuatu yang memuaskan kerana peminat hadir memberi sokongan dan sama-sama menikmati persembahan dari awal hingga akhir.
“Puas. Kita nampak ramai yang datang dan semua orang seronok. Apa yang penting, kami di atas pentas dan penonton sama-sama enjoy.
“Persembahan tidak pernah sempurna. Dalam kehidupan pun tiada yang sempurna, pasti ada kekurangan. Apa yang penting bagaimana kita menanganinya dan ambil yang terbaik daripada apa yang ada di depan kita.

“Malam ini semuanya berjalan lancar, tidak ada tergendala atau masalah teknikal besar sampai perlu berhenti. Semua berjalan seperti yang dirancang,” kata Karl pada sidang media selepas konsert.
Cromok membuka tirai persembahan dengan rangkaian lagu yang cukup sinonim dengan peminat mereka termasuk Black Fury, Prophecy, Stranger, Memories, Another You, I Don’t Belong Here, Misery dan Little One.
Tidak hanya bergantung kepada lagu-lagu lama, Cromok turut memperdengarkan material baharu berjudul Wisdom yang menjadi antara kejutan malam tersebut.
Menurut Karl, keberanian membawa lagu baharu yang belum biasa didengar penonton adalah sebahagian daripada usaha mereka untuk terus bergerak sebagai sebuah band.
“Kita kena tunjuk Cromok produktif. Bukan semua orang berani main lagu baharu yang belum keluar.
“Kita mahu beritahu yang Cromok masih aktif dan tidak hanya bergantung kepada lagu lama. Penonton yang datang malam ini beruntung sebab mereka antara orang terawal dapat dengar lagu baru kami,” katanya.

Kembara
Antara momen paling bermakna dalam segmen Cromok adalah ketika lagu Fallen Heroes dipersembahkan sebagai penghormatan kepada Allahyarham Din dan Miji yang banyak berjasa dalam perjalanan awal mereka.
Karl berkata, lagu itu membawa makna mendalam kerana didedikasikan buat insan penting yang turut membina nama Cromok.
“Itu sebab kita namakan lagu itu Fallen Hero, untuk mengenang jasa mereka. Mereka antara pengasas nama Cromok dari awal lagi terutama Allahyarham Din,” ujarnya.
Selepas Cromok, Barbarik meneruskan momentum malam itu dengan rangkaian lagu seperti Peluru Cokelat, Kasmaran Selamanya, Mencari Asal Usul, Nasib Baik, Periok Api, Inspirasi Syakilla, Sakit Bantal Empuk, Keris Tak Ada Sarong, Gerhana dan Golok Kayu.
Segmen medley lagu-lagu Kembara seperti Hati Emas, Impian Seorang Nelayan, Ekspress Rakyat dan Impian Anak Jalanan pula menjadi antara bahagian yang paling dekat dengan penonton apabila ramai turut menyanyi bersama.
Kemunculan vokalis Cromok, Sam yang membawakan lagu Melayu dalam segmen tersebut turut mencuri perhatian kerana perkara itu jarang disaksikan dalam persembahan mereka.
Sam berkata, pemilihan lagu Melayu popular itu dibuat kerana mahu mencipta suasana santai dan menyeronokkan buat semua yang hadir.
“Mungkin sebab saya nyanyi lagu Melayu yang popular dan semua orang tahu, jadi mereka bersorak. Kita buat konsert memang untuk menghiburkan peminat. Jadi apabila lihat penonton menyanyi dan gembira, itu sudah cukup bagus.
“Tetapi untuk saya menyanyi lagu ‘cover’ Melayu, istimewa hanya untuk konsert ini,” ujarnya.
Sementara itu, pemain gitar Barbarik, JoBranko berkata, kelancaran konsert tersebut membuktikan kerjasama antara dua kumpulan berlainan genre mampu diterjemahkan dengan baik di atas pentas.
Menurutnya, apa yang berlaku pada malam itu juga membuka laluan kepada lebih banyak kolaborasi seumpamanya pada masa hadapan, sama ada bersama Cromok mahupun band lain.
“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Insya-Allah kerjasama bersama Cromok atau band-band lain tidak akan berakhir di sini.
“Apa yang kita lihat malam ini adalah pembuka laluan kepada dua kumpulan dengan genre dan peminat berbeza, tetapi boleh bersatu dalam sebuah konsert,” katanya.
Secara keseluruhan, Black On White bukan sekadar mempertemukan Cromok dan Barbarik atas satu pentas, tetapi turut membuktikan bahawa konsert rock tempatan masih mampu menarik sokongan kuat peminat.
Gabungan susunan lagu yang mantap, bunyi yang padu, segmen nostalgia, lagu baharu dan komitmen para pemuzik menjadikan konsert tersebut antara persembahan tempatan yang meninggalkan kesan tersendiri kepada pencinta setia genre rock.
Konsert Black On White: Cromok-Barbarik dianjurkan KARL Legacy dengan kerjasama Pentas Barbarik dan mendapat sokongan Kementerian Komunikasi menerusi MyCreative Ventures.















