fbpx
Tangkap layar menunjukkan antara iklan hasil tangan Yasmin.

Rindu ‘vibe’ iklan raya Yasmin Ahmad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAJU raya sudah ada, biskut, rempeyek, ketupat sudah ditempah. Lagu raya pun juga berlambak. Ada Serumpun daripada Mimi Fly yang ‘gedebak-gedebuk’ tiba-tiba meledak begitu Meriah Lain Macam (Hael Husaini dan Nadeera) yang paling ‘lit’ ketika ini.

Dua minggu berbaki Ramadan sebenarnya cukup singkat, pejam celik pejam celik, tiba-tiba esok tinggal nak tengok anak bulan 1 Syawal. Ketika itu, mana yang tidak sempat berbuat apa-apa hanya mampu mendesis: ‘Eh, dah nak raya rupa-rupanya’.

Memasuki pertengahan Ramadan juga, rutin ibadah, puasa dan tarawih sudah dilalui dengan tenang. Jadual urusan harian, pergi dan balik kerja juga sudah teratur.

Lantas, apa lagi ‘vibe’ atau getaran Ramadan Syawal yang belum ‘siap’ kita hadam? Biarpun setiap tahun kita lakukan perkara sama, setiap kali raya nak tiba, hati jadi teruja dan ada gundah yang tiba-tiba menyapa.

Dalam konteks ‘vibe’ menjelang raya, tak dinafikan lagu dan iklan atau cerita pendek raya ada impak ‘jahat’ dan makan dalam. Kembali ke para pertama, ‘lagu raya sudah berlambak’, yang sedang penulis tunggu ketika ini adalah karya atau video pendek raya cemerlang yang menikam nurani.

Seperti juga lagu, iklan raya pun ada karya ‘evergreen’ atau malar segar yang sentiasa basah dalam ingatan.

Setiap tahun, pasti ada yang terkenangkan kisah ibu tunggal anak tujuh yang mengarahkan anak-anaknya menyiapkan bahan-bahan dan juadah untuk sambutan raya. Disulami lagu Apa Nak Jadi nyanyian Allahyarham Tan Sri S. M Salim, penulis percaya iklan raya Petronas terbitan 2002 tersebut kekal dalam ingatan semua anak Malaysia sehingga kini.

Kisah anak doakan kepulangan ayah (2001), anak dan menantu menjaga ayah yang semakin hilang upaya dalam Aku Ingin Pulang (2006), Penarik Beca (2004 dan Ayah (2005), sentuhan Allahyarham Yasmin Ahmad dalam iklan-iklan hari raya sememangnya mewariskan satu ‘trademark’, itulah ‘vibe’ raya yang kita cari-cari, yang diteruskan generasi karyawan masa kini. Setakat ini, ekspektasi tersebut sukar ditemukan.

Dalam YouTube ketika ini sebenarnya sudah banyak iklan atau cerita pendek raya yang diproduksikan dengan motif mempromosikan syarikat penerbit. Ada kisah seorang datuk yang melakukan bermacam onar dan akhirnya, dia sekadar mencari alasan ditangkap polis dan dimasukkan ke penjara untuk bertemu si cucu yang berdepan hukuman. Agak menyentuh, tetapi belum mencapai piawai.

Sebenarnya ada banyak karya iklan hari raya menyentuh hati. Kalau ada yang masih ingat terdapat sebuah kisah sekeluarga nak balik raya, empat daripada anak terpaksa menaiki bas kerana tidak cukup ruang dalam kereta. Si ayah maut kemalangan meninggalkan empat anak yang masih hidup yatim piatu tiada penjaga.

Iklan lakonan Faizal Hussein dan Que Haidar itu boleh tahan memilukan.

Untuk 2024, tengok juga iklan lakonan Beto Kusyairy untuk Elrah dan Agrobank yang berjaya melelehkan air mata. Conteng pun luluh dibuatnya.

Tema dan persoalan dalam iklan hari raya haruslah ada dua perihal paling penting iaitu keikhlasan dan kasih sayang. Sejauh mana kemaafan, kepulangan dan apa sahaja nikmat keindahan serta penghayatan hari raya semuanya bersandarkan keikhlasan dalam hubungan, sama ada sesama manusia atau dengan Tuhan.

Semoga Aidilfitri nanti bukan sekadar keraian pembebasan rasa lapar dan dahaga, tetapi memaknakan kesyukuran dan keinsafan terdalam. Wallahuaklam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN