PETALING JAYA – Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan isteri, Tengku Puan Bendahara Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan selamat diputerakan bayi perempuan, hari ini.
Perkhabaran gembira tersebut dikongsikan di Instagram Kesultanan Pahang yang merafak sembah setinggi-tinggi ucapan tahniah dan syukur ke hadrat Allah SWT kepada baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.
“Cucunda puteri yang lahir pada pukul 3.35 petang tadi di sebuah hospital di Kuala Lumpur merupakan puteri kepada Tengku Arif Bendahara dan Tengku Puan Bendahara diberi nama Tengku Nadine Amina Zahra.
“Seluruh warga Majlis Kesultanan Pahang turut menzahirkan rasa syukur atas khabar gembira ini serta bersama-sama menadah tangan memohon ke hadrat Allah SWT agar mengurniakan kesihatan yang baik, kesejahteraan, keberkatan dan perlindungan kepada bayi yang baharu diputerakan, serta dipermudahkan segala urusan Tengku Arif Bendahara dan Tengku Puan Bendahara.
“Semoga cucunda perempuan baginda Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang ini membesar sebagai anakanda yang solehah, dikurniakan keimanan, kebijaksanaan, akhlak yang mulia serta menjadi penyejuk hati keluarga dan membawa keberkatan kepada institusi Kesultanan Pahang,” katanya.
Terdahulu, Tengku Muhammad Iskandar selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, Tengku Natasya Puteri dalam istiadat perkahwinan diraja di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz di Kuantan pada 24 Oktober 2024. – KOSMO! ONLINE














