KEINGINAN untuk menikmati gaji besar menjadi faktor utama ramai rakyat Malaysia sanggup bekerja sebagai scammer di luar negara

‘Saya tahu salah, tapi saya mahu kumpul duit cepat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Ramai rakyat Malaysia sanggup menutup mata dan melupakan risiko yang menanti semata-mata mahu me­ngejar gaji lumayan mencecah RM10,000 sebulan dengan hanya bekerja sebagai scammer di negara jiran.

Tiga negara yang menjadi tumpuan rakyat Malaysia terutama golongan muda ialah Myanmar, Kemboja dan Thailand dengan kebanyakkan mereka mengakui terjebak selepas melihat kesenangan yang diraih rakan-rakan.

Perkara itu didedahkan mene­rusi perkongsian tiga bekas scam­mer kepada Kosmo! yang menceritakan pengalaman mereka bekerja di pusat-pusat operasi scam di negara-negara berkenaan.

Ketiga-tiga individu itu yang kini sudah pulang ke Malaysia mendakwa menerima tawaran pekerjaan tersebut semata-mata tawaran gaji lumayan yang dijanji sindiket.

Seorang bekas scammer dikenali sebagai Zack berusia lingkungan 20-an berkata, dia pada awalnya ditawarkan pekerjaan itu dengan gaji lebih RM5,000 sebulan melalui seorang rakan.

Menurutnya, walaupun tidak pernah menghadiri temu duga rasmi dan tidak mengetahui secara terperinci latar belakang syarikat yang menawarkan pekerjaan itu, dia tetap bersetuju untuk ‘terbang’ ke negara berkenaan.

“Kalau fikir balik memang banyak benda yang mencurigakan. Saya tidak pernah jumpa majikan, tidak pernah pergi temu duga dan semua urusan hanya dibuat melalui telefon.

“Tapi masa itu saya fikir pasal duit. Saya tengok kawan-kawan yang bekerja di luar negara hidup senang dan ada duit,” katanya.

Menurutnya, sebaik tiba di Kemboja, dia dibawa ke kawasan operasi yang terletak jauh dari bandar sebelum menyedari pekerjaan sebenar yang bakal dilakukan.

GAMBAR menunjukkan beberapa bangunan di Kompleks KK Park, Myawaddy, Myanmar yang didakwa menempatkan pusat scammer antarabangsa. – AFP

“Sampai di sana baru saya nampak ramai rakyat Malaysia dan warga asing lain bekerja dalam satu kawasan tertutup. Ketika itu saya sudah dapat agak pekerjaan itu bukan kerja biasa, dan ia adalah sindiket penipuan secara dalam talian,” ujarnya.

Seorang lagi bekas scammer, Micheal berusia 30-an pula berkata, dia dibawa ke sebuah pusat operasi di Thailand yang menempatkan pekerja dari pelbagai negara termasuk Malaysia, Thailand dan negara-negara lain di rantau ini.

Katanya, setiap kumpulan diberikan tugasan mengikut negara sasaran masing-masing.

“Ada kumpulan yang fokus kepada rakyat Malaysia, ada yang sasarkan negara lain. Masa itu saya sudah tahu kami akan digunakan untuk jadi scammer bahi memperdaya orang ramai melalui panggilan telefon dan media sosial,” katanya.

Menurutnya, walaupun menyedari pekerjaan tersebut salah, dia memilih untuk meneruskannya kerana percaya mampu memperoleh pendapatan besar dalam tempoh singkat.

“Saya tahu benda itu salah, tetapi saya fikir mahu kumpul duit cepat. Masa itu saya tak fikir panjang mengenai kesannya kepada mangsa,” katanya.

Sementara itu, James, 32, memberitahu dia menerima tawaran pekerjaan kononnya sebagai kakitangan pejabat di Myanmar sebelum diarahkan menjalankan aktiviti penipuan dalam talian.

Menurutnya, walaupun terkejut dengan tugasan sebenar yang diberikan, dia tetap meneruskan pekerjaan tersebut kerana mahu mendapatkan wang dengan cepat.

“Saya fikir nak kumpul duit dulu. Masa itu saya tak fikir panjang. Bila tengok gaji yang dijanjikan, saya teruskan juga walaupun tahu benda itu salah,” katanya.

Ketiga-tiga mereka turut mengakui ramai pekerja lain di pusat operasi berkenaan mempunyai pengetahuan awal bahawa pekerjaan tersebut berkaitan aktiviti scam.

SEBAHAGIAN pekerja dan mangsa sindiket scammer yang ditahan di bandar Myawaddy, Myanmar tahun lalu. – AFP

Kata James, sebahagian daripada mereka datang secara sukarela selepas diajak rakan-rakan yang pernah bekerja dengan sindiket sama.

“Ada yang memang tahu dari awal. Kawan-kawan yang bawa masuk pun ada beritahu kerja itu berkaitan scam. Tetapi ramai tetap pergi kerana fikir boleh dapat duit banyak dalam masa singkat,” dakwanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN