TEKNOLOGI kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) kini menjadi buah mulut ahli akademik, ahli korporat dan terapi bahasa sebagai alat bagi membantu menyelesaikan masalah pertuturan.
Teknologi AI juga boleh menjimatkan masa dan tenaga terutamanya dalam membuat keputusan serta perancangan jangka pendek atau panjang.
Bagi kanak-kanak yang sedang membesar, penguasaan bahasa menjadi salah satu dari aspek utama yang perlu diberi perhatian.
Menurut Guru Bahasa di Jabatan Bahasa Malaysia dan Linguistik Terapan, Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya, Dr. Norfaizal Jamain, AI membolehkan kanak-kanak menginterpretasi emosi apabila melibatkan perbualan bersama ibu bapa dan ahli keluarga.
Begitu juga kepada kanak-kanak yang mempunyai masalah pertuturan seperti gagap, sebutan, suara dan bahasa.
“AI memainkan peranan penting dalam membantu, menyokong dan meningkatkan perkembangan bahasa kanak-kanak dalam pelbagai cara.
“Satu aspek penting adalah ketersediaan alat pendidikan interaktif. Teknologi ini direka dengan melibatkan kanak-kanak dalam aktiviti berasaskan bahasa bagi memberikan pengalaman pembelajaran yang dinamik dan holistik,” katanya ketika dihubungi K-Tekno baru-baru ini.

pembelajaran bahasa berdasarkan kekuatan dan kelemahan. – Gambar hiasan
Tambahnya, melalui permainan interaktif, tutor maya dan aplikasi berfokuskan bahasa, ia mampu mewujudkan persekitaran untuk menggalakkan kanak-kanak meneroka dan mengamalkan kemahiran bahasa dengan cara menyeronokkan serta menarik.
Katanya lagi, aplikasi pembelajaran bahasa yang dipacu oleh AI menyediakan persekitaran dinamik, memupuk penglibatan dan minat dalam kalangan kanak-kanak.
Aplikasi ini selalunya menggabungkan elemen permainan, kandungan multimedia dan algoritma pembelajaran untuk menyesuaikan pengalaman dengan tahap kecekapan setiap kanak-kanak, selain menjadikan proses itu menyeronokkan serta berkesan.
Tambahan pula, platform pembelajaran bahasa yang didorong oleh AI dapat menyesuaikan diri dengan gaya dan kemajuan pembelajaran individu.
Ia menawarkan kandungan dan cabaran yang disesuaikan mengikut perkembangan semasa bahasa kanak-kanak.
“Pendekatan ini membolehkan kanak-kanak belajar mengikut kadar keupayaan mereka sendiri,” ujarnya.
Kongsi Norfaizal lagi, pengesanan awal membolehkan campur tangan tepat pada masanya dengan memberi sokongan yang disasarkan untuk meningkatkan perkembangan bahasa.
Aplikasi pembelajaran bahasa yang dikuasakan oleh AI boleh menganalisis sebutan, tatabahasa dan penggunaan kosa kata kanak-kanak.
Teknologi AI menawarkan latihan terapeutik, pengecaman pertuturan dan alat lain untuk membantu dalam peningkatan kemahiran bahasa kanak-kanak dengan keperluan khusus yang lebih teratur.
Tambahan pula, AI memudahkan pembelajaran berdasarkan kekuatan dan kelemahan individu.
Melalui penilaian berterusan dan analisis data, algoritma AI boleh mengenal pasti kelemahan tertentu, di mana kanak-kanak mungkin memerlukan sokongan tambahan.
Ini membolehkan sistem AI menjana pelajaran dan latihan yang bersesuaian bagi setiap kanak-kanak.














