KETIKA ramai cerdik pandai agama memperjuangkan ilmu pengetahuan, pembacaan mahupun syariah melalui media sosial yang dilihat sebagai medium paling rapat dengan masyarakat, timbul pula kegelisahan mengenai ‘kebijaksanaan’ netizen.
Tidak keterlaluan jika dikatakan kritikan netizen lebih tajam dan dahsyat.
Lihat sahaja di ruangan komen setiap ustaz-ustaz terkenal di saluran YouTube atau Facebook, rata-rata mereka meninggalkan kata cela dan ada juga yang terus menjatuhkan hukum.
Lebih teruk apabila ada netizen yang tanpa mendengar ceramah secara penuh mampu meluahkan komen cerdik pandai menerusi komen orang lain sebelumnya.
Situasi ini membimbangkan kita sebagai orang muslim, jika ada antara orang yang mahu merapati ilmu Islam misalnya, mereka menjadi keliru dengan apa yang dikatakan netizen ini.
Entah apa yang difikirkan netizen seperti ini, seakan-akan mereka suka dan bangga untuk meninggalkan komen kosong dalam setiap media sosial.
Itu belum lagi dicampur dengan netizen yang suka mengaitkan dengan politik, isu banjir besar yang sedang berlaku di beberapa negeri ketika ini juga telah dikaitkan dengan politik, sunggup mudah orang kita menghukum.
Selain itu, mereka juga tanpa segan silu memberikan komen terhadap fatwa serta hukum yang telah dikeluarkan oleh ulama serta mufti. Adakah netizen kita ini sebenarnya lebih bijak dan pandai dari golongan ulama dan mufti?
Sebelum ini, Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang memberi peringatan kepada netizen untuk tidak sewenang-wenangnya menghina, memaki dan mengecam ulama atau tokoh agama.
“Kita semua wajar memuliakan mereka ini kerana mereka diletakkan di tempat tinggi di sisi Allah SWT.
“Mungkin ini dikaitkan dengan akhir zaman dan kiamat kecil seperti disebut oleh Rasulullah SAW apabila golongan mulia ini dihina dan direndahkan oleh kelompok masyarakat,” ujarnya.
Jelas Fadzil, jika masyarakat faham tentang peranan dan ilmu para ulama, pasti mereka tidak akan melakukannya.
“Kemudahan media sosial yang ada pada hari ini menyebabkan ada antara netizen yang tidak dapat membezakan kepada siapa mereka lepaskan perasaan itu.
“Mungkin ada yang kata mereka tidak suka dengan golongan agama yang suka berpolitik tapi kita perlu sedar, dalam dunia politik juga perlukan golongan ini,” ujarnya.
Secara keseluruhannya, jika diambil pada Surah al-Asr yang mengandungi tiga ayat mafhumnya, “demi masa! sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar”.
Manusia itu tidak terlepas dari kerugian jika tiap-tiap detik umur yang berlalu dalam hidupnya digunakan hanya untuk melakukan dosa seperti memfitnah, mengumpat, mengeji bercakaran dan sebagainya kerana ini semua tidak dapat menolongnya ketika kita mati kelak.
Ayat ini juga jelas menerangkan kepada kita bahawa manusia sentiasa berada dalam kerugian jika setiap detik umur berlalu kita gunakan untuk melakukan dosa-dosa sama ada kepada Allah atau sesama manusia.














