GUA MUSANG – Lebih 1,000 penduduk yang menggunakan jalan dari Kampung Jerek untuk keluar ke bandar ini bimbang dengan risiko keselamatan mereka berikutan dua lokasi di laluan itu telah merekah dan mendap.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Jerek, Wan Zahari Wan Harun, 56, berkata, kejadian terbaharu berlaku di Jalan D241 pada pukul 9 pagi semalam apabila rekahan dan mendapan terjadi sepanjang 110 meter.
“Selain jalan itu, terdapat satu lagi jalan mendap iaitu di Jalan D235 berhampiran simpang masuk ke kampung ini. Saya takut jalan akan runtuh semasa kenderaan sedang melaluinya,” katanya ketika ditemui di Kampung Jerek di sini semalam.
Menurutnya, jika berlaku runtuhan jalan di situ, penduduk Kampung Jerek akan terputus hubungan kerana itu adalah jalan utama mereka ke bandar Gua Musang.
Katanya, perjalanan melalui laluan alternatif dari Kampung Jerek ke Bertam Baru, seterusnya ke Kampung Limau Kasturi adalah jauh kerana mengambil masa lebih satu jam untuk ke bandar Gua
Musang berbanding kira-kira 40 minit menggunakan jalan ini.
Seorang lagi penduduk, Mohd. Ismail Hussin, 50, pula berharap dua lokasi jalan mendap itu dapat dibaiki dengan kadar segera demi keselamatan pengguna jalan raya.
“Jalan ini merupakan laluan utama penduduk untuk menghantar anak ke sekolah dan keluar mencari barangan keperluan serta makanan di bandar.
“Saya berharap projek menaik taraf jalan dapat dilakukan secepat mungkin sebelum perkara tidak diingini berlaku,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, sebelum ini semasa perbahasan Belanjawan 2025 negeri, perkara utama yang dibawa ialah mengenai masalah jalan D235 yang perlu dinaik taraf.
“Insya-Allah pada tahun depan proses naik taraf jalan ini akan dilakukan. Saya harap dengan berlakunya kejadian jalan mendap ini akan mempercepatkan lagi proses naik taraf,” ujarnya.














