SEAWAL pukul 5 pagi semalam, kawasan perumahan saya hujan lagi. Meski tidak lebat, tempohnya agak lama. Tertanya-tanya, bagaimana pula dengan tempat lain terutama kawasan yang sering terjadinya banjir. Hujan jugakah?
Mutakhir ini, majoriti negeri di Semenanjung Malaysia berdepan musibah banjir. Kita dapat saksikan beberapa bahagian di Lembah klang ditenggelami air sehingga banyak kenderaan terkandas dan operasi pengangkutan awam terjejas. Malah, ada beberapa lokasi baharu yang sebelum ini tidak pernah dinaiki air tiba-tiba banjir.
Begitu juga di negeri-negeri lain, tidak kira berpunca daripada taburan hujan tinggi atau fenomena air laut pasang besar, orang ramai dinasihatkan untuk berhati-hati dan melakukan persediaan awal menghadapi kemungkinan banjir.
Sehari sebelum artikel ini ditulis, saya ada berbual dengan seorang rakan yang menetap di Andalas, Klang. Katanya, sudah dua kali rumahnya dimasuki air. Banyak barang rosak dalam banjir terdahulu dan kali ini sebagai persediaan dia dan suami meletakkan bata di bawah perabot.
Sekiranya sekali lagi mereka berdepan dugaan banjir, paling tidak jumlah kerugian dapat dikurangkan. Dengar ceritanya pun sudah rasa letih apatah lagi dia dah keluarga yang melalui situasi itu berkali-kali.
Begitu juga perkongsian seorang lagi sahabat di Kedah. Kediaman ibunya di kampung ditenggelami air hingga ke paras pinggang. Air deras pula deras, kebetulan rumah tak jauh dari sungai. Memang menakutkan.
Bagi mereka yang menetap di lokasi berisiko tinggi banjir perlu bersiap siaga dari awal. Antara usaha yang boleh dilakukan adalah simpan dokumen penting dan barang berharga dalam bekas kalis air seperti yang disarankan Majlis Keselamatan Negara.
Selain itu, simpan air bersih untuk kegunaan mandi dan minum, sediakan peralatan kecemasan secukupnya, ada power bank untuk kegunaan kecemasan, kenal pasti pusat pemindahan serta pusat bantuan terdekat, bersiap sedia untuk berpindah dan sentiasa peka dengan arahan pihak berkuasa.
Diharapkan juga semua pihak lebih cakna dengan meningkatkan tahap keselamatan terutama di lokasi kritikal. Ini kerana, banjir bukan sahaja boleh meragut nyawa dan merosakkan harta benda tetapi berisiko menyebarkan pelbagai jenis penyakit seperti cirit birit, demam denggi dan kepialu.
Ingatlah kalian tidak sendirian, semua pihak termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang melakukan usaha terbaik untuk menghulurkan bantuan dengan pantas.
Malah, menerusi pembentangan Belanjawan 2025 Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan hampir RM600 juta disediakan untuk Agensi Pengurusan Bencana
Negara (Nadma) sebagai persiapan mendepani musibah banjir. Ini termasuk lebih RM300 juta yang telah disediakan untuk persiapan sekiranya berlaku bencana pada bila-bila masa.
Saya juga percaya seperti tahun-tahun terdahulu ramai sukarelawan akan turun padang membantu mangsa banjir dalam segala aspek. Malaysia prihatin! -KOSMO! ONLINE














