JERANTUT – Seorang nelayan sungai sekali lagi berjaya menangkap seekor ikan baung ekor merah ‘gergasi’ di Sungai Tembeling di sini kelmarin, malah lebih berat iaitu 17 kilogram (kg) berbanding sebelum ini.
Pada bulan lalu, Mohd. Ismaiza Abdullah Zawawi, 40, memperoleh seekor baung ekor merah seberat 16 kg.
Katanya, ikan baung ekor merah itu ditangkap dengan menggunakan taut yang dipasangnya di Sungai Tembeling.
“Seperti biasa taut dipasang pada sebelah petang semalam (kelmarin) menggunakan umpan anak ikan keli.
“Saya kembali semula ke sungai ini dan mendapati air berkocak dengan kuat dan nampak seekor ikan liar meronta-ronta dengan kuat dan kepalanya timbul di permukaan air,” katanya.
Menurutnya, dia terkejut apabila melihat seekor ikan baung ekor merah yang besar sekali lagi berjaya ditangkap.
Katanya, dia kemudian membawa ikan liar itu ke pengkalan jeti Taman Negara dengan meletakkannya di hadapan motosikal sehingga mengejutkan orang ramai yang melihatnya.
“Ikan liar ini dikerat dan dijual pada harga RM40 sekilogram dan selebihnya untuk dijadikan makanan kami sekeluarga,” ujarnya.
Ikan baung ekor merah merupakan ikan pemangsa yang membunuh spesies ikan tempatan lain dan pelbagai usaha telah dilakukan bagi mengurangkan populasi ikan itu.














