fbpx
Cimol menjadi antara menu terlaris yang dijual Rani Raniawati di kedainya berdekatan Stesen Kereta Api Garut, Jawa Barat, Indonesia.

Kreativiti olah ‘tepung aci’ jadi 20 juadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUASANA di jalan utama berhampiran Stesen Kereta Api Garut dalam wilayah Jawa Barat, Indonesia kelihatan sibuk dengan motosikal dan kereta yang lalu- lalang untuk menuju ke destinasi masing-masing.

Di tepi jalan, kelihatan beberapa gerai ‘lesehan’ ataupun kecil-kecilan yang beroperasi di situ dengan menawarkan aneka makanan tradisi Indonesia.

Antara menu menarik ditawarkan ialah sate padang, nasi uduk selain beberapa juadah makanan ringan.

Dalam suasana terik mentari di tepi jalan itu, kelihatan Rani Raniawati Rosidah, 44, sedang sibuk menggoreng aneka makanan ringan atau dipanggil ‘camilan’ oleh penduduk Indonesia di gerainya.

“Saya menjual aneka makanan ringan atau camilan yang dihasilkan menggunakan bahan utama iaitu ‘tepung aci’ seperti bakso aci kecil, cimol dan tauhu aci bulat.

“Semuanya menggunakan bahan asas daripada tepung aci dan diolah mengikut selera pelanggan. Ada hidangan dimasak secara rebus dan juga bergoreng,” katanya kepada Panorama ketika ditemui di gerainya di Garut, Jawa Barat, Indonesia baru-baru ini.

Tepung aci ialah tepung ubi kayu yang menjadi bahan utama dalam penghasilan aneka camilan yang merupakan antara hidangan popular masyarakat Sunda terutama di Jawa Barat.

Secara kebiasaan, tepung itu akan dicampurkan dengan air panas terlebih dahulu bagi membentuk doh sebelum diolah dan ditambah pelbagai perisa bagi menghasilkan aneka camilan.

Masyarakat Sunda sangat terkenal dengan kreativiti mereka mengolah tepung aci menjadi pelbagai juadah menyelerakan.

Untuk rekod, selain cimol dan bakso aci kecil, terdapat lebih 20 hidangan ringan berjaya diolah mereka menggunakan tepung aci.

Antara hidangan itu ialah cireng (aci digoreng), cipuk (keropok aci), cilung (aci digulung), cilor (aci dimasak bersama telur), citul (aci dibalut bersama tulang), cipeng (aci gepeng iaitu yang diratakan/penyek) dan banyak lagi.

Rani Raniawati berkata, meskipun hanya menjual tiga jenis hidangan, namun jualannya mampu mencecah sebanyak 50 kilogram (kg) sehari.

Aci cimol yang dijual turut dipelbagaikan rupa dan ramuannya.

“Bagi hidangan bakso aci kecil, ia merupakan bebola yang dihasilkan daripada tepung aci dan dinikmati bersama kuah sup jernih.

“Cimol pula merupakan singkatan daripada bahasa Sunda di mana doh itu akan dibulatkan sebelum digoreng.

“Makanan itu akan diperasakan dengan cili sebelum dinikmati pelanggan,” katanya.

Dalam pada itu, menurut seorang lagi peniaga, Deti Indah Deni, 26, hidangan berasaskan tepung aci boleh disifatkan sebagai makanan rasmi di Jawa Barat berikutan diminati oleh semua golongan.

Katanya yang sudah 12 tahun meniaga hidangan itu, makanan ringan berasaskan aci dinikmati rakyat Indonesia tanpa mengira waktu termasuk pada waktu malam.

“Biasanya saya mula meniaga hidangan berasaskan aci seperti cimol, citul dan cipeng bermula pukul 3 petang hingga 11 malam di mana pelanggan paling ramai pada sebelah petang. Saya mampu menghabiskan sekitar 25kg tepung aci setiap hari untuk mengolah hidangan berkenaan dan kerja-kerja penyediaan bermula seawal pukul 8 pagi,” katanya.

Cerita wanita itu, dia turut menerapkan elemen inovasi dalam menghasilkan menu baharu seperti menghidangkan cimol bersama keju.

“Jika dilihat, ramai pelanggan menyukai cimol bersama keju dan menjadi antara menu terlaris.

“Jadi, saya berpuas hati apabila inovasi masakan itu disukai,” katanya.

Menurut penganalisis pelancongan di Jabatan Pelancongan dan Kebudayaan Jawa Barat, Prima Sophia W, kejayaan peniaga setempat mengolah aneka menu berasaskan tepung aci menterjemahkan kulinari itu telah berinovasi.

“Puluhan tahun lalu, menu yang ada di Jawa Barat hanyalah cireng yang mana tepung aci dibancuh dengan air panas dan dimasukkan perisa serta daun bawang sebelum digoreng.

“Kini, terdapat lebih 20 menu yang berjaya dihasilkan menggunakan tepung aci serta diolah mengikut kreativiti seperti menggunakan keju, cili pedas, serbuk perasa dan pelbagai lagi,” katanya.

Melihat kepada potensi menu itu, Prima Sophia berkata, pihaknya juga menyasarkan mempromosi produk sejuk beku berasaskan tepung aci termasuk ke pasaran antarabangsa seperti Malaysia dan Singapura.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN