LIPIS – Isu pembuangan sampah di laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang bagaikan tiada berkesudahan mendorong pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mengambil inisiatif memasang kamera litar tertutup (CCTV) untuk memantau kesalahan pengguna jalan raya yang bersikap pengotor di LTU, Lipis-Gua Musang di sini.
Pengarah SWCorp Pahang, Sharudin Hamid berkata, pihaknya mendapat kerjasama daripada Majlis Daerah Lipis (MDL) untuk memasang CCTV di beberapa lokasi ‘hot spot’ di sepanjang laluan berkenaan sejak 1 Jun lalu.
“Kita telah bekerjasama dengan MDL untuk mengenal pasti individu yang melakukan kesalahan terutama mereka yang membuang sampah merata-rata di laluan LTU.
“Tindakan penguatkuasaan boleh diambil sekiranya pengguna jalan raya masih berdegil dan tidak mengambil serius tentang perkara ini.
“Selain itu, tindakan kompaun dan notis amaran boleh dikenakan pada bila-bila masa jika berlaku kesalahan berulang,” katanya di sini semalam.
Menurutnya, Alam Flora Lipis telah menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyediakan tong sampah di lokasi tumpuan bagi memudahkan mereka untuk membuang sampah sempena cuti Hari Raya Aidiladha ini.
Tegasnya, pengguna jalan raya perlu sedar bahawa setiap tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab akan diperhatikan melalui CCTV.
Sementara itu, Yang Dipertua MDL, Datuk Mohd. Hafizi Ibrahim berkata, usaha meletakkan CCTV di sepanjang LTU akan memudahkan pemantauan dibuat oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengesan pelaku yang tidak bertanggungjawab.
Tambahnya lagi, sejak pemasangan CCTV berkenaan, pihaknya telah berjaya mengesan tabiat segelintir pengguna jalan raya yang bertindak membuang sampah dari tingkap kenderaan.
“Sehingga hari ini terdapat beberapa pengguna jalan raya bertindak membuang sampah sarap dan air kencing di laluan tersebut.
“Tindakan kompaun akan diambil kepada pengguna terlibat. Ini juga merupakan salah satu usaha untuk mengurangkan lambakan sampah di bahu jalan sepanjang laluan LTU,” katanya.
















