fbpx
DI rumah inilah Norliyana menemui mayat kakaknya yang berlumuran darah selepas dibunuh oleh kawan baiknya, Siti Nur Athirah di Kampung Lubuk Batu, Telemong Hulu Terengganu pada 1 November 2020. Gambar kecil: Siti Nur Surya dan bapanya, Ismail

‘Kami reda, tapi luka ini masih berdarah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA TERENGGANU – Bapa Siti Nur Surya mendedahkan walaupun pembunuh anaknya telah dikenakan hukuman penjara 30 tahun tetapi kejadian itu tetap meninggalkan kesan mendalam sehinggakan mengubah kece­riaan hidup keluarganya.

Ahli perniagaan, Ismail Muda, 62, berkata, sejak peristiwa hitam itu, dia telah berpindah serta-merta kerana tidak boleh melihat rumah lokasi pembunuhan di Kampung Lubuk Batu, Telemong, Hulu Terengganu.

Katanya, kesan lain terzahir kepada anak bongsunya, Norliyana Shuhada, 19, yang sehingga kini menjadi pendiam dan jarang tersenyum selepas menemui mayat kakaknya pada hari kejadian.

“Lebih menambahkan luka kami apabila isteri, Zaini Musa, 55, yang menjadi saksi pembunuhan meninggal dunia akibat kanser otak lima bulan selepas tragedi itu.

“Sampai hari ini saya masih sukar tidur malam kerana sering terkenang tragedi yang menimpa. Saya reda tetapi sukar terima hakikat anak saya dibunuh kejam oleh rakan baiknya kerana mahu melepaskan diri daripada membayar hutang orang lain,” katanya kepada Kosmo!.

Semalam Kosmo! melaporkan Siti Nur Athirah Azmi, 23, dijatuhi hukuman penjara 30 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini atas kesalahan membunuh Siti Nur Surya.

Dia didakwa membunuh Siti Nur Surya di rumah mangsa di Kampung Lubuk Batu, Jalan Bukit Tadok, Telemong, Hulu Terengganu antara pukul 8.30 pagi dan 9.30 pagi, 1 November 2020.

Mayat anak kelimanya daripada tujuh beradik itu ditemui dengan kesan tetakan di bahagian muka, leher dan dada selain pergelangan tangan kirinya putus.

Mayat mangsa ditemui berlumuran darah oleh Norliyana Shuhada di ruang tamu sewaktu pulang dari sekolah.

Perbuatan kejam itu disaksikan Zaini yang terlantar sakit akibat kanser otak di katil berhampiran.

Menurut Ismail, dia akur de­ngan keputusan mahkamah apatah lagi hukuman mati mandatori telah dimansuhkan baru-baru ini.

“Tidak apalah, ini baru hukuman dunia. Ikutkan hati, hukuman penjara 30 tahun memang tidak padan dengan apa yang berlaku kepada arwah dan penderitaan pada keluarga selepas kejadian itu,” katanya.

Ismail berkata, dia cuba menyibukkan diri menguruskan perniagaan sewaan lori, namun kerap menjenguk pusara Siti Nur Surya dan isteri setiap kali rasa rindu menjelma.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN