PETALING JAYA – Tiga kaedah pengecaman mayat iaitu padanan asid deoksiribonukleik (DNA), cap jari dan rekod pergigian sudah mencukupi untuk mengesahkan identiti 10 mangsa pesawat ringan jenis Beechcraft Model 390 yang terhempas di Persiaran Elmina, Shah Alam.
Perunding Kanan Forensik Patologi United Kingdom, Prof. Dr. Shahrom Abd. Wahid berkata, setakat ini tiada kaedah lain untuk mengenal pasti identiti mayat dan sejak lima tahun telah wujud teknologi baharu bagi mempercepatkan lagi proses pengecaman berkenaan.
Jelas beliau, pengecaman jenazah menggunakan salah satu kaedah tersebut sahaja sudah cukup untuk membolehkan mayat diserahkan kepada waris masing-masing bagi pengebumian.
“Protokol bagi mengenal pasti ada tiga. Satu kaedah sahaja boleh membawa kepada pengecaman yang positif. Membawa 99 peratus kemungkinan tepat. Pertama adalah cap jari (mangsa) dibandingkan dengan kad pengenalan.
“Kedua menggunakan rekod pergigian. Gigi orang lain-lain. Lebih banyak ‘keunikan’ pada gigi seperti ada tampal sana, ada tebuk sini, lagi tinggi kebarangkalian. Sekarang ada yang mempunyai rekod X-ray gigi.
“Ketiga DNA. Mana-mana bahagian dalam badan ada nukleas. Kulit, rambut, tulang pun boleh. Jenazah rentung pun masih boleh dapat DNA kecuali jadi abu kerana sudah tiada sel. Mustahil dalam suatu kebakaran biasa boleh jadi abu termasuk dalam kes pesawat terhempas tersebut
“Dulu kos bagi setiap ujian DNA dianggarkan antara RM1,800 hingga RM3,000,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.
Kelmarin polis memaklumkan urusan bedah siasat semua mayat mangsa pesawat terhempas di Persiaran Elmina, Shah Alam telah selesai dan menunggu hasil padanan DNA.
Waris mangsa nahas juga diharap dapat menerima seadanya keadaan jenazah yang diserahkan kepada mereka kelak kerana terdapat cebisan-cebisan mayat yang telah terbakar dan tidak dapat diproses untuk mencari padanan DNA.
Seramai 10 mangsa terkorban dalam nahas kira-kira pukul 2.48 petang itu terdiri enam penumpang dan dua kru pesawat, seorang pemandu kereta serta seorang penunggang motosikal.
Mengulas lanjut, Shahrom berkata, pihak forensik hospital akan berusaha menjahit semula anggota badan mayat yang berkecai untuk mendapatkan bentuk jasad, namun bagi serpihan daging bersaiz kecil akan ditanam dalam satu kubur.
Justeru, ujarnya, orang ramai tidak perlu khuatir jika ada spesimen yang tidak dapat dikenal pasti kerana ia mampu dilakukan menggunakan tiga kaedah tersebut. -KOSMO! ONLINE














