BERMULA 5 Julai lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) tidak lagi mewajibkan pemakaian pelitup muka di dalam pengangkutan awam dan fasiliti kesihatan.
Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, walau bagaimanapun, individu itu dikehendaki memakai pelitup muka sekiranya positif Covid-19 dan ketika mengunjungi fasiliti kesihatan.
Di sebalik kelonggaran itu, sebilangan pengguna media sosial berpandangan mereka masih mahu memakai pelitup muka kerana bimbang dijangkiti atau menyebarkan penyakit kepada keluarga.
Di dalam pengangkutan awam seperti tren dan bas pula, orang ramai dilihat masih memakai pelitup muka terutama ketika waktu puncak yang mana penumpang perlu berhimpit.
Membincangkan perkara itu, Pakar Kesihatan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, situasi tersebut menggambarkan masyarakat kini lebih waspada dengan penyakit.
“Tindakan ini baik jika mereka menganggap diri terdedah risiko jangkitan seperti individu yang mempunyai masalah komobiti, kegemukan, darah tinggi, kencing manis dan masalah jantung.
“Mereka yang bergejala perlu memakainya agar tidak menjangkiti orang lain. Jika dalam kenderaan sesak, jarak kita makin rapat, maka cecair batuk dan air liur boleh terkena orang lain,” katanya.
Menurutnya, orang ramai yang masih memakai pelitup muka mempunyai kesedaran, maka ia baik untuk diteruskan.
Sharifa Ezat berkata, orang ramai perlu berwaspada dengan penyakit yang boleh merebak, lebih-lebih lagi dengan kemunculan virus baharu di luar negara.
“Kemunculan virus seperti langya dan kraken boleh disebarkan melalui haiwan seperti kelawar dan babi. Bila berlakunya pemanasan global, vektor-vektor penyakit ini mudah menyebarkannya.
“Pembangunan bandar yang mengakibatkan kemusnahan hutan menyebabkan haiwan mendiami penempatan manusia. Apabila berinteraksi dengan kita, penyakit yang dibawa mudah merebak,” jelasnya.
Tambahnya, kajian menunjukkan bahawa pandemik akan datang mungkin berdasarkan burung dan haiwan ternakan.
“Contohnya, Sindrom Pernafasan Virus Korona Timur Tengah (MERS-CoV). Malah virus juga boleh merebak melalui unta apabila susunya tidak dipasteur atau dipanaskan.
“Lebih teruk atau tidak kadar jangkitan, itu tidak dapat dipastikan, tetapi sentiasa akan ada jangkitan penyakit baharu dan ini tidak boleh dinafikan.
“Lebih banyak interaksi dengan haiwan, lebih mudah ia merebak,” katanya.
Justeru, Sharifa Ezat menasihatkan orang ramai agar berjaga-jaga dengan penyakit yang merebak melalui udara dan air yang tercemar dengan kuman.
“Buat masa sekarang, Covid-19 masih belum selesai, tetapi dunia sudah diancam dengan pelbagai wabak yang teruk. Kita harap tiada subvarian atau virus baharu muncul di Malaysia, tetapi pengawasan perlu diteruskan oleh pihak berwajib.
“Jika berlaku pengesanan awal kes dari luar negara, Malaysia sepatutnya sudah bersedia kerana kita sudah ada banyak pengalaman,” ujarnya.
Kesimpulannya, pelitup muka boleh dipakai bukan sahaja untuk mengelak daripada dijangkiti Covid-19, malah menghindari penyakit lain seperti demam, batuk dan selesema yang mudah merebak melalui udara.














