PEMINAT kopi lazimnya akan membeli mesin espresso atau mesin kopi untuk kegunaan peribadi di rumah yang pastinya memudahkan mereka hasilkan sendiri minuman tersebut pada bila-bila masa.
Selain menjimatkan kos berbanding membeli kopi dari kafe, penghasilan kopi sendiri di rumah juga membolehkan seseorang itu untuk mengubah suai dan menghasilkan kopi yang lebih ‘kena’ dengan cita rasa.
Namun, sifat sesetengah mesin kopi yang agak teknikal menyebabkan ada antara pemilik alatan itu yang tidak begitu mahir mengoperasikannya.
Menyedari hakikat itu, Muhammad Dzafir Zulkifli, 32, yang kini merupakan barista di gerai kopi miliknya sendiri iaitu Kisah Aku dan Kopi mula menawarkan kelas kepada pemilik mesin kopi untuk mereka mempelajari teknik yang betul dalam menghasilkan minuman enak itu selain seni berkaitan kopi seperti latte art atau seni latte.
Seni latte merujuk kepada imej atau corak yang dihasilkan di atas minuman kopi dengan menggunakan susu yang dipanaskan.
Bahkan, dia yang lebih mesra disapa Dzafir berkata, bagi memudahkan pelajarnya, dia akan datang ke rumah pelajar dan menggunakan mesin espresso milik pelajar itu sendiri supaya mereka boleh mengaplikasikannya di rumah dengan baik.
“Buat masa ini, fokus utama saya juga adalah untuk mengajar kaedah betul dalam menghasilkan seni latte.
“Latte adalah minuman kopi yang dihidangkan bersama susu yang dipanaskan.
“Selain seni latte, sekiranya ada permintaan untuk kelas lain berkaitan kopi, saya juga ada mengajar cara untuk brew atau menghasilkan kopi dengan betul,” ujarnya kepada K2.
Dzafir mengenakan bayaran sebanyak RM200 bagi sesi latte art untuk tiga jam.
Biasanya, dia akan datang ke kediaman pelanggannya dan belajar tentang mesin espresso milik mereka sebelum mula mengajar.

Ditanya bagaimana Dzafir tahu mengoperasikan mesin espresso berbeza-beza milik setiap pelajarnya, dia menjelaskan bahawa mesin espresso mempunyai fungsi yang hampir serupa.
“Tidak begitu sukar untuk belajar fungsi setiap mesin espresso kerana biarpun mesin itu mempunyai rupa luaran yang berbeza-beza, fungsi asasnya seperti alat memanaskan susu dan sebagainya adalah sama.
“Justeru, ini membolehkan saya untuk ‘memahami’ mesin milik pelajar-pelajar saya,” ujarnya sambil menambah bahawa pengalaman bekerja di beberapa buah kafe sebelum ini banyak membantunya miliki kemahiran menggunakan mesin espresso.
Jelas jejaka berasal dari Wangsa Melawati, Kuala Lumpur itu, dia mula terlibat dalam industri perkhidmatan makanan sejak menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi pada 2015.
Selepas menamatkan pengajian, Dzafir terus berkhidmat di sebuah kafe di ibu kota dan dari situ, dia banyak belajar cara hasilkan kopi dengan betul, sama ada dengan menggunakan mesin espresso atau pun kaedah manual.
“Selepas bekerja dengan orang, saya pun memberanikan diri untuk menubuhkan gerai saya sendiri yang dioperasikan di hadapan rumah.
“Sambil-sambil itu, saya pun mulai menawarkan kelas menghasilkan seni latte, selepas menjuarai pertandingan Latte Art Showdown yang dianjurkan oleh Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022,” ujarnya.

Kongsinya lagi, sejak tahun 2018, Dzafir sudah menyertai sehingga 25 pertandingan kopi yang dianjurkan di seluruh negara, dengan niat untuk memantapkan lagi skil yang ada.
Dia sama sekali tidak menyangka muncul juara bagi pertandingan menghasilkan seni latte tahun lalu.Bertitik tolak dari situ, Dzafir semakin aktif untuk berkongsi ilmunya kepada mereka yang berminat.
“Pelajar saya terdiri daripada pelbagai kumpulan, ada yang sudah biasa dengan mesin espresso dan ada juga yang tidak tahu langsung untuk menggunakan mesin espresso serta menghasilkan seni latte.
“Mereka yang langsung tiada pengalaman adakalanya akan berasa gusar, namun secara peribadinya, saya lebih seronok mengajar individu sebegini kerana bagi saya, mereka akan lebih fokus dan bersungguh-sungguh untuk belajar,” ujarnya.
Jelas Dzafir, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa terdapat pelbagai teknik untuk menghasilkan seni latte yang baik.
Antaranya termasuk cara memanaskan susu bagi mendapatkan tekstur buih yang baik selain kaedah memegang cawan dengan betul.
“Apabila saya masuk pertandingan menghasilkan seni latte, faktor-faktor ini antara faktor penilaian yang akan diambil kira oleh juri.
“Sebagai contoh, seni latte yang betul sebenarnya hanya mempunyai dua warna saja iaitu warna putih daripada susu dan juga warna coklat daripada kopi. Sekiranya latte yang dihasilkan itu miliki warna putih dan dua tona coklat berbeza, maka jika dalam pertandingan, markah akan ditolak,” jelas Dzafir.
Tambah Dzafir, tidak kiralah anda menghasilkan kopi untuk diminum sendiri atau anda barista yang menghasilkan kopi untuk dihidangkan kepada pelanggan, perkara asas yang perlu ada untuk menghasilkan seni latte yang baik adalah keyakinan.
“Tip paling utama untuk hasilkan seni latte yang baik adalah keyakinan.Saya selalu pesan kepada pelajar bahawa dalam apa pun yang kita lakukan, jika kita fokus, disusuli dengan teknik yang betul, kita perlu yakin bahawa seni latte dihasilkan itu akan menjadi,” ujarnya.














