fbpx
Matcha (kiri) dan kopi (kanan).

Matcha atau kopi, mana lebih baik?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MINUMAN berkafein sering menjadi pilihan ramai untuk meningkatkan tenaga harian. Namun, sains menunjukkan tidak semua sumber kafein bertindak dengan cara yang sama dalam tubuh.

Antara yang semakin mendapat perhatian ialah matcha iaitu sejenis teh hijau serbuk dari Jepun yang dikatakan memberi rangsangan tenaga lebih stabil berbanding kopi.

Kedua-dua matcha dan kopi mengandungi kafein sebagai bahan aktif utama yang merangsang sistem saraf pusat.

Bagaimanapun perbezaan ketara terletak pada cara tubuh menyerap dan memproses kafein tersebut apabila kopi biasanya memberikan lonjakan tenaga lebih cepat kerana kandungan kafein diserap dengan pantas ke dalam aliran darah.

Memetik kajian Journal of Education Health and Sport, matcha menduduki tempat pertama kerana memberi manfaat kepada kesihatan jantung, menggalakkan penghadaman dan menyokong fungsi kognitif.

“Matcha memberi kesan positif tidak hanya kepada fungsi kognitif tetapi turut melibatkan kardio-metabolik serta bertindak sebagai antioksidan kuat.

“Selain meningkatkan fokus melalui kombinasi L-theanine dan kafein, matcha juga didapati menyokong kesihatan usus dan pemulihan otot,” lapor kajian tersebut.

L-theanine merupakan sejenis asid amino yang memainkan peranan penting dalam memperlahankan penyerapan kafein dan memberi kesan rangsangan secara perlahan-lahan tetapi berpanjangan tanpa lonjakan mendadak.

Menurut Pakar Perubatan dan Pengasas Dignity Integrative Health and Wellness, Angelo Falcone, kombinasi L-theanine dan kafein dalam minuman matcha lebih memberikan ketenangan atau peningkatan tumpuan berbanding kopi.

Matcha membekalkan vitamin tambahan seperti A, C, E, K dan serat yang tidak terdapat dalam kopi. Namun, kopi pula lebih kaya dengan Vitamin B tertentu dan mineral seperti potasium.

“Kajian menunjukkan L-theanine menggalakkan penghasilan gelombang alfa di otak untuk memupuk keadaan yang santai, manakala pengambilan matcha secara berkala dipercayai mampu mengawal kolesterol kerana menurunkan kolesterol buruk (LDL) sambil mengekalkan kolesterol baik (HDL),” katanya di Food & Wine.

Seiring berjalannya waktu, perubahan cita rasa masyarakat lantas membuatkan kedua-dua minuman tersebut mengalami transformasi dan mempunyai peminat tersendiri.

Kata Pakar Kesihatan dan Pemakanan, Dr. Aoife O’Connor, perubahan gaya hidup membuatkan kedua-dua minuman ini yang dahulu lebih terarah kepada perubatan kini sudah berubah kepada Instagrammable.

“Kopi dahulu dijadikan ubat tradisional untuk membantu memberikan tenaga, melancarkan pencernaan dan fokus tetapi sekarang dilihat sebagai satu tuntutan gaya hidup atau menjadi pencuci mulut dengan adanya pelbagai perisa manis seperti caramel macchiato, hazelnut latte atau frappuccino bersama krim putar, sirap dan sos coklat.

“Begitu juga matcha yang sebelum ini menjadi minuman ritual bagi tujuan meditasi agar menjadi lebih tenang dengan rasanya sedikit pahit dan bukanlah seperti sekarang yang dicampur bersama pemanis dan susu selain diolah rasa untuk dijadikan sebagai aiskrim, kek dan coklat,” katanya.

Sehubungan itu, pilihan sama ada kopi atau matcha bergantung kepada keperluan individu sama ada mahukan tenaga yang cepat atau kestabilan tenaga.

Kandungan kafein dalam kopi lebih mudah diserap ke dalam aliran darah sehingga mampu menunjukkan tindak balas lonjakan tenaga sekitar 15 hingga 30 minit selepas minum.

Berbeza dengan matcha yang mengandungi L-theanine membuatkan penyerapan kafein bergerak perlahan dan kadar kejutan tenaga dianggarkan dapat dirasai 30 hingga 60 minit selepas minum.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN