AYUB menunjukkan ikan belida bersaiz gergasi yang pernah ditangkapnya menggunakan teknik menajur.

Menajur beri kepuasan dapat ikan besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KAMPUNG Permatang Berangan yang terletak di daerah Marang, Terengganu mungkin agak asing bagi sesetengah orang, khususnya yang tinggal di luar negeri berkenaan.

Namun bagi kaki pancing terutama dari sekitar Terengganu, Sungai Permatang Berangan terkenal sebagai antara lubuk pelbagai spesies ikan air tawar, selain udang galah.

Bagi seorang kaki pancing, Wan Muhammad Ayub Wan Jusoh, 29, dilahirkan dan membesar sebagai anak jadi kampung tersebut memberi kelebihan baginya untuk memahami selok belok memburu hidupan air di sungai berkenaan.

Katanya, hobi memancing sememangnya sudah sebati dengan dirinya sementalah ia merupakan antara aktiviti yang kerap dilakukannya bersama rakan-rakan sewaktu kecil.

“Selain memancing, saya juga kerap menggunakan kaedah tajur bagi menangkap ikan di sungai ini dan ia telah dilakukan sejak saya berusia belasan tahun.

“Kebiasaannya, saya akan memburu ikan di Sungai Permatang Berangan ini kerana di sini memang banyak ikan air tawar dan udang galah.

“Jika ada masa terluang, barulah saya akan memancing di beberapa port di luar daerah ini terutamanya di Setiu,” katanya.

Mengulas mengenai aktiviti menajur yang digunakan, dia yang mesra disapa Ayub memberitahu, lebih gemar menggunakan cara itu untuk menangkap ikan kerana lebih mudah memburu ikan bersaiz besar berbanding menggunakan joran.

Ujarnya, dia menggunakan bot miliknya menyusuri sungai berkenaan untuk ke beberapa lokasi yang dianggap menjadi lubuk ikan.


ANTARA spesies ikan sungai yang berjaya dinaikkan menggunakan teknik menajur.

“Kebiasaannya, saya akan turun ke sungai untuk menajur ikan dengan ditemani seorang rakan.

“Sekiranya keadaan air pada ketika itu sangat elok dan tiada rakan untuk menemani, saya tetap ke sungai walaupun berseorangan.

“Saya mula memasang umpan sekitar pukul 6 petang dan menghabiskan masa kira-kira sejam untuk memasang kira-kira 50 tajur.

“Selepas siap meletakkan tajur, saya akan membiarkan selama kira-kira sejam sebelum kembali melihatnya sama ada sudah ada ikan yang membaham umpan atau tidak.

“Jika sudah ada yang mengena, saya akan kembali memasang umpan baharu pada mata kail tajur sebelum beredar untuk melihat hasil pada tajur lain pula,” katanya.

Menurut Ayub lagi, proses tersebut dilakukan beberapa kali sebelum dia kembali ke jeti untuk pulang ke rumah menjelang waktu subuh.

Jelasnya, biasanya ikan akan aktif memburu mangsa pada waktu maghrib dan subuh.
Pada waktu tengah malam pula, ikan menjadi kurang aktif.

Malah katanya, dia juga akan melihat keadaan air sungai terlebih dahulu sebelum turun memburu ikan.

Ini kerana menurutnya, sekiranya air terlalu keruh, ia mempengaruhi hasil tangkapan kerana ikan tidak aktif memburu mangsa dalam keadaan air seperti itu.

Bercerita mengenai tajur yang digunakan, Ayub memberitahu, dia menggunakan tali pukat bersaiz antara 100 hingga 150 dan diikat pada dua mata kali bersaiz sederhana.

Katanya, hujung tali akan diikat pada dahan pokok yang terjuntai ke permukaan air.
Kedua-dua mata kail tersebut akan dicangkuk pada badan anak ikan terbul atau ikan kawan yang masih hidup sebagai umpan.

TALI pukat bersaiz antara 100 hingga 150 diikat pada dua mata kali bersaiz sederhana digunakan sebagai tajur.

Ia dibiarkan berenang di bahagian permukaan air untuk menarik perhatian ikan pemangsa.

“Biasanya, pemangsa yang kerap membaham umpan dari tajur yang dipasang adalah daripada spesies baung, toman, ikan ubi, belida dan siakap.

“Antara ikan terbesar yang pernah saya dapat hasil daripada menajur ialah baung seberat 3 kilogram (kg), toman (13kg) dan siakap 15kg.

“Boleh dikatakan kesemua hasil tangkapan akan saya jual kepada pelanggan termasuk rakan-rakan dan penduduk kampung yang sudah biasa membeli ikan air tawar daripada saya selama ini,” katanya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN